PETALING JAYA: “Terima kasih kepada semua yang sentiasa peka, prihatin dan menegur. Saya terima semuanya dengan hati terbuka dan akan perbaiki pada minggu akan datang.”
Demikian jawapan pelakon dan ahli perniagaan, Wawa Zainal selepas busana yang dipakai ketika Big Stage 5 minggu lalu menerima kecaman daripada segelintir warganet.
Wawa yang merupakan penaja program tersebut menerusi jenama Wawa Cosmetics juga tidak menyangka busana yang disediakan jurugayanya itu akan dikritik oleh segelintir warganet.
“Baju itu disediakan oleh jurugaya, Abu. Dia ada hantar ‘reference’ baju yang akan dipakai. Cuma saya tak sempat nak ‘fitting’, jadi hanya dapat buat semalam.
“Mungkin sebab material kain jenis melekat pada badan, itu yang nampak lain. Kebetulan saya pula tak bawa baju lain, memang tak ada pilihan,”katanya.
Pada peringkat suku akhir itu, Wawa menggayakan pakaian warna hitam dengan material satin yang melekat pada badan sehingga mengundang kritikan buana itu tidak sesuai digayakan oleh mereka yang berhijab.
Dalam pada itu, Wawa, 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, teguran diterima itu juga tanda ramai yang sayang akan dirinya.
“Kita pun tak menyangka perkara ini akan terjadi. Saya menghormati tugas orang yang bertanggungjawab untuk menyiapkan saya.
“Saya bertuah sebab masih ada yang sudi tegur. Saya anggap mereka sayang dan ambil berat,” katanya.
Untuk rekod, Wawa dan suaminya, Aeril Zafrel menjadi selebriti pertama yang menaja program realiti TV.
Pada Big Stage musim ini, difahamkan Wawa Cosmetics mengeluarkan kos penajaan mencecah jutaan ringgit.