Wakil UMNO boleh dapat tempat dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika menang PRN - Utusan Malaysia

Wakil UMNO boleh dapat tempat dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika menang PRN

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) menyaksikan majlis penyerahan cek bagi program 'The Stem Talent Development Initiatives' di SMJK Chung Hwa Confusion, di Jelutong, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Wakil UMNO boleh mendapat tempat dalam kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya calon-calon UMNO menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memberi ruang kepada wakil UMNO kerana ia selari dengan pemuafakatan yang dicapai untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

”Permuafakatan dan kerjasama ini akan diteruskan menjelang PRN di enam negeri, jadi tertakluk kepada keputusan (PRN), dan apa yang diperkatakan oleh Presiden UMNO ini adalah satu kenyataan yang menggambarkan senario politik terkini.

”Ia (kedudukan dalam barisan Exco negeri) tertakluk kepada keputusan (PRN), sekiranya tidak ada orang (UMNO) menang mereka tidak dapat berada dalam barisan Exco sebab kita tidak ada undang-undang untuk melantik ahli yang baharu tanpa menang dalam PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘The Stem Talent Development Initiatives’ di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confusion, di sini hari ini.

Kon Yeow mengulas kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melibatkan wakil UMNO dalam kepemimpinan tiga negeri yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu disentuh Presiden UMNO itu ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Agung UMNO yang turut dihadiri Anwar yang juga Presiden PH di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, jalinan kerjasama antara PH dan UMNO telah terbentuk dengan baik di peringkat Kerajaan Pusat dan negeri sepanjang tujuh bulan lalu.

“Sebenarnya kita telah berada dalam ‘mode’ kerjasama di peringkat Persekutuan, dan memang sepanjang tujuh bulan ini jalinan kerjasama sudah terbentuk baik pun di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

”Mungkin di peringkat negeri kerjasama akan diperhebat selepas PRN nanti, cuma UMNO perlu menang kerana ia satu hakikat politik,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai proses agihan kerusi di Pulau Pinang, beliau berkata, rundingan di peringkat negeri telah diselesaikan dan perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden.

”Rundingan adalah satu proses dan saya percaya setelah beberapa pusingan rundingan, kerusi-kerusi yang ditawarkan kepada setiap parti tidak akan memuaskan setiap parti.

”Namun, secara keseluruhannya ia adalah satu gandingan yang boleh diketengahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, katanya, beliau akan bertemu Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sehari sebelum 28 Jun bagi memaklumkan mengenai proses pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.