Undi PN tunjukkan penolakan kepada kerajaan - Azmin

Undi PN tunjukkan penolakan kepada kerajaan – Azmin

PN Selangor
MOHAMED Azmin Ali berucap pada Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kemenangan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini sebagai manifestasi penolakan rakyat kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat memerlukan kepimpinan yang mampu membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi dan kos sara hidup.

“Menang PN di Selangor, Anwar akan turun di Putrajaya.

“Dalam negara sedang menghadapi krisis, kita perlukan kepimpinan bukan penyanyi, selebriti, ini bukan masanya untuk menyanyi ‘oh Azizah’, kita kena nyanyi lagu rakyat, rakyat susah. 

“Kita hendak pemimpin turun ke lapangan selesaikan masalah rakyat bukan naik basikal dalam pejabat. Kita hendak pemimpin yang memacu pertumbuhan ekonomi negara, mesti naik kuda bukan naik lembu,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor 2023, hari ini.

Beliau menambah, PN juga bersedia untuk menggempur kawasan-kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) seperti di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai komponen gabungan itu, DAP.

Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan, undian kepada PH dianggap sebagai sokongan kepada kleptokrasi dan nepotisme dalam kerajaan.

“Satu undi untuk PH adalah satu undi untuk perasuah, pembelot, pengkhianat.

“Sudah melampau, kalau sebelum PRU dahulu kita tolak kleptokrat, nepotisme, sudah menang anak, isteri jadi penasihat, sebab itu pengundi di Selangor sama ada Melayu Cina dan India kalau mahu pemimpin yang jujur dan ikhlas, yang menolak kleptokrat, undilah PN,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×