KUALA LUMPUR: UMNO tetap utuh meskipun dilanda pelbagai isu termasuklah berkenaan tindakan bekas pemimpin menyertai parti lain.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan bahawa akan ada 10 bekas pemimpin UMNO menyertai parti lain bukanlah pertama kali berlaku dan ia tidak memberi kesan terhadap identiti parti serta sokongan daripada rakyat khususnya orang Melayu.
Beliau kemudian mengucapkan selamat maju jaya kepada 10 ‘warlord’ UMNO yang dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
“10 ‘warlord’ daripada UMNO yang mungkin ini pertama kali mereka tidak dapat menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung UMNO.
“Saya dimaklumkan mereka berhasrat untuk menyertai parti lain, saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Perhimpunan Agung UMNO di sini, semalam.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dilaporkan berkata, 10 bekas pemimpin UMNO yang dijangka menyertai gabungan terbabit adalah pemimpin yang disisihkan.
UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan telah merangka strategi bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi tetapi juga menambah jumlah kemenangan dalam PRN membabitkan enam negeri dalam masa terdekat.
Justeru itu kata beliau, pihaknya telah mengatur gerak kerjasama bersama parti-parti lain agar persediaan menghadapi PRN bertambah mantap khususnya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung bulan ini.

Mengulas agihan kerusi pula, Ahmad Zahid menjelaskan, perkara itu sedang dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
“Kita ada formula agihan kerusi yang telah dipersetujui bersama, kita akan selesaikan jika ada pertindihan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2023 sebagai luar biasa menerusi ramai kehadiran bukan sahaja perwakilan malah orang ramai ke lokasi perhimpunan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sejak semalam.
Katanya, meskipun perhimpunan berlangsung hari ini, jumlah kehadiran semalam adalah luar biasa sekali gus menunjukkan satu tanda positif buat UMNO.
“Ia satu petanda baik terhadap Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu ini,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, UMNO bakal meminda Perlembagaan esok berhubung permohonan keahlian secara dalam talian.
Katanya, langkah itu bagi mempermudahkan dan menambahbaik urusan permohonan keahlian UMNO itu.
“Terdapat fasal berkenaan permohonan keahlian secara dalam talian, apa ditetapkan perhimpunan khas adalah untuk meminda agar ia dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN










