Tundukkan Penang FC 0-2, JDT terus lebar rekod kemenangan liga - Utusan Malaysia

Tundukkan Penang FC 0-2, JDT terus lebar rekod kemenangan liga

PEMAIN JDT, Bergson da Silva (berjersi 9) cuba meloloskan diri daripada kepungan dua pemain Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk ‘berpesta’ gol menentang Penang FC buat kali kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila hanya mampu menyumbat dua gol ketika bertandang ke Stadium Bandaraya, di sini malam ini.

Bagaimanapun, kemenangan 2-0 itu membolehkan skuad Harimau Selatan kekal melebarkan rekod cemerlang iaitu 13 kemenangan daripada 13 perlawanan liga setakat ini.

Beraksi dalam keadaan padang yang agak becak akibat hujan sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat bermula dengan baik, namun begitu berhati-hati di hadapan lebih 6,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Pelawat bagaimanapun membuka jaringan menerusi tonggak pertahanan kebangsaan, La’vere Corbin-Ong pada minit ke-18 hasil rembatan deras luar kotak penalti.

Jaringan itu menaikkan semangat anak-anak buah Estaban Solari untuk menggandakan asakan ke kubu tuan rumah terutama menerusi aksi lincah bintang muda mereka, Arif Aiman Hanapi.

Namun, benteng Penang FC yang diterajui kapten, Rafael Vitor kemas menangkis asakan bertali arus juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Meskipun kerap diasak lawan, skuad Harimau Kumbang masih mampu memberi saingan apabila hampir dua kali memecah kebuntuan jaringan iaitu pada minit-minit terakhir separuh masa pertama yang bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Manzoor Azwira cuba menyerap asakan dan sesekali melancarkan serangan balas ke kubu pelawat.

Namun, hujan lebat menyaksikan corak permainan mula bertukar agresif dengan beberapa pemain turut menerima layangan kad kuning daripada pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.

Penjaring terbanyak liga setakat ini, Fernando Forestieri kemudian menambah derita tuan rumah menerusi jaringan kedua pada minit ke-85 sekali gus menyaksikan menyaksikan hasrat Penang FC untuk menebus kekecewaan akibat disingkirkan lawan yang sama 0-5 dalam saingan suku akhir Piala FA tempoh hari tidak kesampaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya