IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) menafikan berlaku rekahan pada Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang baru dibuka kepada orang ramai minggu lalu seperti yang tular dalam media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dakwaan berlakunya rekahan kononnya akibat menggunakan plastik murahan, tidak benar.
Menurutnya, rekahan yang dikatakan itu sebenarnya adalah direka bentuk bagi proses pengembangan dan penguncupan konkrit.
“Pada waktu video direkodkan, bahan tersebut belum lagi dipasang.
“Gambar-gambar yang dipaparkan dalam video tersebut juga adalah bukan di bawah seliaan JKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, JKR sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan menyalurkan maklumat tepat serta sahih mengenai perkembangan jambatan itu.
“Kerjasama semua pihak amat diharapkan ke arah memastikan aset infrastruktur negara dapat diuruskan dengan optimum,” katanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial satu rakaman video berdurasi 26 saat mendakwa berlaku rekahan di struktur jambatan menyebabkan Sungai Perak yang berada di bawahnya dapat dilihat.
Jambatan Bagan Datuk-Sejagop dibuka kepada umum pada 31 Mei lalu. – UTUSAN










