Tiada ranking sekolah terbaik SPM 2022 - Utusan Malaysia

Tiada ranking sekolah terbaik SPM 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang kedudukan prestasi (ranking) sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah terbaik berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, kelmarin.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap keputusan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) itu juga bukan dipertandingkan, sebaliknya sebagai sokongan ke arah peningkatan prestasi sekolah berkenaan pada masa hadapan.

“Dari sudut Kementerian Pendidikan itu bukan satu KPI sebab kita tidak pernah sebut atau keluarkan ranking ini. Siapa yang buat ranking itu pun di luar pengetahuan kita.

“Apa yang diunjurkan melalui GPS sekolah itu adalah untuk sekolah itu sendiri di peringkat daerah dan negeri. Ia bukan untuk dipertandingkan kerana ia adalah untuk melihat usaha yang akan dilaksanakan pada tahun mendatang,” katanya kepada pemberita selepas jerayawara (outreach) Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kedah, di sini, semalam.

Beliau mengulas tentang penularan senarai ranking sekolah terbaik SPM 2022 susulan pengumuman keputusan peperiksaan awam itu sejak kelmarin berdasarkan GPS sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sehubungan itu, kata Fadhlina, Kementerian Pendidikan menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan ranking tersebut yang disifatkan boleh berubah pada masa akan datang.

“.Jangan terpengaruh de­ngan ranking kerana ia akan berubah. “Kita lihat kemajuan anak-anak kita sendiri melalui pendekatan pengukuhan ekosistem penglibatan ibu bapa, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), PIBKS (Penglibatan Ibu Bapa, komuniti dan pihak Swasta) untuk anak-anak cemerlang,” katanya.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN