PETALING JAYA: Yayasan Hasanah (Hasanah), yayasan di bawah Khazanah Nasional, mengumumkan The Hasanah Forum (THF) 2023, acara impak sosial terkemuka di Malaysia, yang berlangsung dari 20-22 Jun.
Bertemakan Fostering Justice-Based Philanthropy: Shifting the Narrative to Action, THF 2023 menghimpunkan pemimpin dan pengamal berpengaruh dari ekosistem impak sosial, termasuk organisasi masyarakat sivil, perusahaan sosial, syarikat, pembuat dasar, dan golongan akademik.
Tujuan forum ini adalah memangkin dialog yang berorientasikan tindakan dan memupuk kepimpinan pemikiran dalam landskap filantropi yang terus berkembang, demi menghasilkan impak sosial-ekonomi yang nyata bagi masyarakat.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, pada tahun pertama forum ini di 2021, THF mengajak mendalami konsep ‘berbuat baik’ yang bukan sekadar berlandaskan amal atau kedermawanan tetapi lebih daripada itu, ia memperjuangkan hak dan intervensi yang berasaskan keadilan.
“Dalam edisi kedua forum pada tahun ini, fokusnya adalah menerjemahkan pemikiran ini menjadi tindakan nyata. Jadi, tak kiralah sama ada anda baru sahaja berjinak-jinak dalam sektor ini ataupun sudah agak berpengalaman, kami menjemput semua sekali untuk menyertai dialog ini supaya dapat bersama-sama membentuk atur langkah kita, di mana ia memacu filantropi dan inovasi impak ke arah visi yang dikongsi bersama – sebuah Malaysia yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.
Kerjasama Global, Tindakan Lokal untuk Malaysia
Berlangsung seiring THF ialah Asia Venture Philanthropy Network, atau AVPN, Global Conference 2023, persidangan pelaburan sosial terbesar di Asia yang menghimpunkan para pelabur global dan Asia, pendana, dermawan, pembuat dasar, serta Rakan Terhad, di mana ini merupakan kali pertama persidangan tahunan ini dianjurkan di Malaysia.
Dihoskan bersama dengan Yayasan Hasanah tahun ini, AVPN Global Conference 2023 mengangkat suara-suara Asia di persada antarabangsa.
Membentuk sebahagian daripada kerjasama ini, sesi THF 2023 turut disertakan bersama AVPN Global Conference untuk peserta delegasi antarabangsa.
Suara-Suara Pelbagai di THF 2023
Acara selama tiga hari ini akan memberikan fokus kepada tiga pemacu perubahan utama: People and Institutions, People and Society, dan People and Leadership; membincangkan soal-soal penting seperti kerjasama untuk perubahan sistem, memastikan keputusan yang mengambil kira pihak terlibat, peranan pelaku intervensi dalam memberdayakan komuniti, memupuk pemimpin yang berani, dan memprofesionalisasikan sektor impak sosial.
Forum ini menampilkan penceramah dan ahli panelis daripada pelbagai latar belakang, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadualkan untuk menyampaikan ucapan penutup pada 22 Jun.
Perbincangan Kritikal, Tindakan Kolaboratif
Mengakui keterhubungan masalah sosioekonomi seperti kemiskinan, perubahan iklim, dan konflik yang menjurus kepada ketidakseimbangan, THF mengakui bahawa isu-isu ini tidak dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan semata-mata.
Namun penglibatan aktif dari masyarakat sivil, perniagaan yang menggalas tanggungjawab mereka, dan individu yang berdaya adalah penting dalam menghadapi cabaran-cabaran ini.
Justeru, THF menjadi seruan untuk bertindak buat pencetus perubahan di semua peringkat masyarakat, memberikan peluang unik kepada peserta untuk mendengar, terlibat dalam perbincangan, dan mendapatkan sudut pandang baharu.
Sejak penubuhannya pada tahun 2015, Yayasan Hasanah telah memberi impak kepada lebih 2.4 juta orang dan memangkin lebih 470 rakan kolaborasi merentasi lebih 600 program di seluruh Malaysia.
Melihat pencapaian ini, Shahira menekankan bahawa kuncinya terletak pada kekuatan kerjasama strategik di samping sokongan dari sektor awam, swasta, dan masyarakat sivil.
Oleh itu, Shahira menjangkakan banyak kerjasama baharu akan terjalin menerusi forum ini, yang mungkin menjangkau kolaborasi konvensional. “Sudah tiba masanya kita membebaskan diri dari berkerja bersendirian, dan sebaliknya bersatu untuk mengumpul dan memanfaatkan kebijaksanaan kolektif kita dalam sektor impak sosial.
Melalui usaha bersama, niat baik kita dapat dipupuk menjadi hasil yang dapat diukur dan membawakan impak.
“Dengan THF, tujuan kami adalah untuk membina platform yang menghimpun pemegang taruh yang pelbagai untuk saling bertukar pengetahuan dan menerjemahkan niat mereka menjadi hasil yang nyata, di kala manusia melangkah menjadi lebih progresif,” katanya.
Sertai dialog ini secara fizikal di Pusat Konvensyen KL dari 20 hingga 22 Jun untuk dua acara sekaligus: The Hasanah Forum dan AVPN Global Conference.
Tahun ini, Yayasan Hasanah berbangga menjadi hos bersama buat AVPN Global Conference, yang kali pertamanya dibawakan ke Malaysia, di mana harga tiket eksklusif menanti rakyat Malaysia. Sebagai alternatif, dapatkan tempat duduk maya anda untuk siaran langsung Forum Hasanah, yang boleh diakses secara percuma secara online.
Untuk mendapatkan tiket acara atau mendaftar untuk akses percuma ke siaran langsung THF, layari thf.yayasanhasanah.org. – UTUSAN