TH sedia ATM di Abraj Janadriyah

TH sedia ATM di Abraj Janadriyah

Syed Saleh Syed Abdul Rahman menunjukkan wang yang dikeluarkan daripada ATM Alinma Bank di Abraj Janadriyah, Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Selepas 60 tahun, Tabung Haji (TH) mencipta sejarah baharu apabila menyediakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pertama di kawasan penginapan jemaah yang dikecualikan fi sepanjang musim haji.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ATM milik Alinma Bank itu diletakkan di Abraj Al-Janadriyah di sini dengan kebenaran Bank Negara Arab Saudi bagi mengatasi masalah ketiadaan mesin tersebut di kawasan berdekatan.

Katanya, jarak paling dekat antara ATM sedia ada dan hotel ialah 750 meter di Menara Safwah berhampiran Masjidilharam.

“Kemudahan ini khusus untuk jemaah haji Malaysia bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang dalam jumlah sedikit-sedikit untuk berbelanja tanpa perlu berjalan jauh. Penggunaannya amat mudah seperti ATM yang ada di Malaysia.

“ATM itu terletak dalam kawasan hotel dan berdekatan pengawal keselamatan. Jika ada orang luar yang ingin menggunakannya, kemasukan mereka akan dihadkan dan tidak melepasi kawasan mesin untuk menjaga keselamatan jemaah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu Syed Saleh merasmikan ATM tersebut yang turut disaksikan Pegawai Perhubu­ngan Kebajikan Pelanggan Alinma Bank, Radhwa Sameer Khalil Malki.

Menurut Syed Saleh, fi ATM sebanyak 10 riyal akan ditanggung oleh Bank Islam dan penggunaannya dapat menampung keperluan 8,000 jemaah. Pengecualian fi diaktifkan sejak tahun lalu.

“Permohonan dibuat pada 2018 kerana beberapa sebab iaitu kedudukan ATM sedia yang jauh, memudahkan warga emas yang tak faham cara mencari mesin dan mengelakkan jemaah terdedah dengan cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, Radhwa Sameer berkata, pihaknya mempunyai keupayaan untuk meluaskan lagi lokasi ATM di bangunan jemaah haji Malaysia.

“Kerjasama dengan TH sudah terjalin sejak 10 tahun lalu dan sudah pasti kami berusaha memudahkan urusan mereka demi kesenangan jemaah dan kelancaran operasi haji,” katanya.

Seorang jemaah, Ahmad Nizam Saupi, 57, dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia teruja apabila dapat mengeluarkan wang dari ATM tersebut selepas menunggu beberapa hari.

“Sebelum ini saya ada nampak ATM itu tetapi masih belum boleh digunakan. Saya sanggup me­nunggu majlis ini selesai supaya boleh keluarkan duit beberapa ratus riyal untuk berbelanja.

“Penggunaannya mudah sama seperti ATM di Malaysia. Saya bersyukur kerana tidak perlu lagi berjalan jauh hingga ke Menara Safwah untuk mengeluarkan wang,” katanya yang gembira kerana pengeluaran dike­cualikan fi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN