TAPAH: Jika di tempat lain, lembu menjadi pilihan sebagai haiwan untuk sembelihan ibadah korban namun berbeza bagi penduduk di Kampung Jeram Mengkuang dekat sini yang memilih kerbau sebagai sembelihan korban pada Aidiladha tahun ini.
Penduduk memberitahu, keadaan itu disebabkan kawasan berkenaan kekurangan lembu kerana haiwan itu semakin kurang diternak disebabkan banyak yang mati termasuk akibat dilanggar kenderaan.
Sebagai persediaan penyembelihan ibadah korban, Ahli Jawatankuasa Masjid Al Muidiah Kampung Jeram Mengkuang, Mohd. Bohari Mohd. Ramli berkata, ibadah korban akan diadakan di pekarangan masjid dengan sembelihan empat ekor kerbau dan seekor lembu.
Menurutnya, selain melaksanakan tuntutan ibadah, ia dapat menjalin hubungan penduduk.
“Empat ekor kerbau dikorbankan dan seekor lembu pada Aidiladha kali ini dan kerja-kerja sembelihan, melapah dan memasak diaturkan semua pihak bersama ahli jawatankuasa masjid.
“Tahun lepas kita mengadakan majlis korban dengan menyembelih empat ekor kerbau dan tahun ini juga empat ekor kerbau dan seekor lembu.
“Hanya seekor lembu akan disembelih tahun ini disebabkan kekurangan lembu.
“Kira-kira 30 tahun lalu memang lembu jadi pilihan korban tetapi jumlahnya semakin kurang diternak menyebabkan ramai membuat korban kerbau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, harga seekor kerbau untuk korban kira-kira RM9,000.
“Daging korban diagihkan kepada golongan asnaf dan peserta korban. Majlis korban tahun ini sangat bermakna kerana sudah tiga tahun tidak dapat diadakan disebabkan Covid-19,” katanya. – UTUSAN