PETALING JAYA: Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalin hubungan kerja yang lebih erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung kes-kes jenayah yang berlaku di aplikasi berkenaan.
Perkara itu ditegaskan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil susulan pertemuannya bersama wakil Telegram di Bukit Aman hari ini.
Pertemuan itu turut disertai Pengerusi SKMM, Tan Sri Salim Fateh Din; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan pegawai-pegawai tertinggi PDRM.
Menurut Fahmi, dalam mesyuarat selama satu jam itu, pihaknya telah menegaskan bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di Telegram.
“Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia.
“Pihak Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM. Saya mengalu-alukan kerjasama dengan Telegram untuk membendung jenayah yang berlaku di aplikasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Minggu lalu akhbar ini melaporkan, penyebaran kandungan lucah antara aduan yang banyak diterima SKMM menggunakan aplikasi Telegram sejak 2020 hingga Mei lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, SKMM berkata, daripada 4,716 aduan dalam tempoh tiga tahun itu, sebanyak 727 aduan melibatkan kandungan lucah.
Kesemua aduan yang diterima telah diambil tindakan termasuk merujuk kepada PDRM untuk perhatian dan tindakan lanjut.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, sejak Januari 2020 hingga Mei lalu, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.
“Kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.
“Insya-Allah, pertemuan ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan,” katanya. – UTUSAN