Tajuddin tuntut Khairul Azwan mohon maaf dakwaan sabotaj - Utusan Malaysia

Tajuddin tuntut Khairul Azwan mohon maaf dakwaan sabotaj

TAJUDDIN Abdul Rahman (tengah) menunjukkan bukti bergambar beliau membantu kempen PRU-15 dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menuntut permohonan maaf daripada Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berhubung dakwaan sabotaj pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, kenyataan yang mengaitkan beliau dengan dakwaan tersebut disifatkan sebagai tuduhan melampau dan fitnah semata-mata.

“Saya telah pun melantik peguam dan minta mereka tulis surat kepada dia (Khairul Azwan). Saya beri tempoh satu minggu untuk dia buat permohonan maaf secara terbuka.

“Jika dia tidak menarik semula kenyataan yang dibuat, saya akan arahkan peguam untuk ambil tindakan undang-undang iaitu saman, selain membuat aduan kepada Lembaga Disiplin parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Tajuddin, kenyataan dibuat Khairul Azwan itu dipercayai bertujuan untuk ‘menghapuskan’ beliau daripada menjadi ahli UMNO Bahagian Pasir Salak.

Katanya, sebagai bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, beliau sama sekali tidak melakukan perbuatan sabotaj seperti didakwa sebaliknya berusaha membantu kemenangan calon pada pilihan raya umum lalu.

“Ramai menyaksikan apa yang saya lakukan sepanjang PRU-15 lalu, mereka juga boleh sahkan. Ini bukti (gambar), sepanjang 14 hari (kempen pilihan raya) saya telah pergi ke pelusuk kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya bukan pergi saja-saja, tetapi kempen habis-habisan pagi hingga petang, siang dan malam untuk Barisan Nasional (BN), bantu juga calon-calon UMNO yang bertanding.

“Saya korbankan banyak masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyokong dan berkempen bagi kemenangan calon BN di Pasir Salak. Saya beri duit tetapi bukan untuk beli undi tetapi untuk bantu gerak kerja jentera PRU.

“Saya mahu memastikan jentera parti dapat bergerak lancar supaya kita boleh menang, Saya korbankan wang hampir RM1 juta. Apabila kalah PRU-15, dia salahkan saya cakap tidak sokong, ini adalah fitnah,” katanya.

Menerusi laporan media Rabu lalu, Khairul Azwan dalam kenyaataannya mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu masih berterusan memburukkan kepimpinan parti.

Dalam kenyataan itu beliau berkata, selain melanggar disiplin parti, Tajuddin juga bertindak menghentam dan mendesak Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan melakukan sabotaj pada PRU. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya