‘Tahun lalu RM8, kini mencecah sehingga RM20’

‘Tahun lalu RM8, kini mencecah sehingga RM20’

MOHD. Shukor Chin menunjukkan ikan kembung yang dijualnya secara pukal kepada pelanggan di jeti Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis, semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Harga ‘ikan rakyat’ terutama ikan kembung yang sentiasa menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat kini harganya tidak menentu dengan adakala boleh mencecah sehingga RM18 atau RM20 sekilogram.

Berbanding tahun lalu, ikan berkenaan dianggarkan sekitar RM8 sekilogram sahaja atau lebih rendah di pasar-pasar atau kedai runcit mengikut gred.

Bagi peraih ikan di Kuala Sungai Baru di sini pula, mereka memasarkan harga ikan kembung gred A pada kadar RM15 untuk sekilogram.

Bagaimanapun, harga ikan kembung gred A yang dijual di pasar oleh pengusaha dan kedai runcit pula adalah berbeza iaitu sekitar RM18 hingga 20 bagi sekilogram.

Harga ikan kembung gred A yang dijual di pasar dan kedai juga dilihat naik mendadak berbanding tahun lalu memandangkan ketika itu ia dijual pada harga antara RM8-RM10 sekilogram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peraih ikan, Mohd. Shukor Chin, 60, berkata, harga ikan rakyat khususnya kembung sememangnya tidak menentu berikutan pasarannya bergantung kepada faktor cuaca dan hasil tangkapan nelayan.

“Jika hasil tangkapan nelayan banyak, harga ikan-ikan rakyat ini akan lebih murah dan ia akan menjadi semakin mahal jika hasil tangkapan kurang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukor berkata, hasil tangkapan ikan kembung dan ‘kan rakyat’ lain dijangka bertambah dalam masa tiga atau empat hari selepas sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.

Katanya, hasil tangkapan laut lain seperti udang dan sotong juga menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Kami jangka harga ikan kembung ini juga akan turun selepas ini memandangkan hasil tangkapan yang dijangka bertambah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×