Suspek kes ragut wanita warga asing direman 5 hari - Utusan Malaysia

Suspek kes ragut wanita warga asing direman 5 hari

TANGKAP layar video suspek kes ragut yang ditahan di Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang kelmarin. - Pic SUMBER POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menahan reman seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun selama lima hari kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut di Jalan Macalister, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menghampiri dan meragut beg mangsa yang merupakan wanita warga asing.

Bagaimanapun, ujar beliau, suspek gagal melarikan diri dan ditangkap oleh orang awam di sekitar tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

”Hasil semakan mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Timur Laut.

“Suspek berasal dari Pulau Pinang, dan mempunyai lapan rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja (THC), methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun ragut yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun berserta denda atau sebatan.

”Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi motosikal yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Tambahnya, polis juga meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya