Sultan Selangor perkenan bawa isu penggunaan kalimah Allah dalam MKI Ogos ini

Sultan Selangor perkenan bawa isu penggunaan kalimah Allah dalam MKI Ogos ini

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan untuk membawa perkara berkaitan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baginda memperkenankan perkara itu ketika beliau menghadap Sultan Sharafuddin hari ini dan mengadakan perbincangan bersama berhubung isu tersebut.

Menurut beliau, selepas isu berkenaan dibawa ke MKI, ia akan diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula.

“Saya menyembah maklum kepada baginda berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri.

“(Hal ini) dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, selepas perbincangan bersama Sultan Selangor, beliau menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Susulan itu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Pada masa sama, kata beliau, ia sebagai memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.

Kerajaan turut menjelaskan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.