ALOR SETAR: Sebuah stor tidak berpenghuni di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu dekat sini dijadikan lokasi untuk menyorok minyak diesel bersubsidi dipercayai untuk diselewengkan.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Kedah (KPDN), Affendi Rajini Kanth berkata, taktik itu terbongkar setelah penguatkuasa agensi itu membuat serbuan kira-kira 11.30 pagi di stor terletak di kawasan perindustrian itu.
“Pemeriksaan lanjut dibuat ke atas dua kontena di kawasan berkenaan yang menemukan sebuah tangki berisi minyak diesel beserta seunit pam dispenser.
“Manakala kontena kedua mempunyai sebuah tangki dan sebuah pam. Pegawai penguatkuasa menyita barang-barang berkenaan kerana disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Affendi, minyak diesel yang disita dianggarkan berjumlah 7,200 liter itu bernilai kira-kira RM15,480.
“Manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM37,240. Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan antaranya bagi orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. –UTUSAN