SIRIM kesan lambakan topi keledar tak diiktiraf di pasaran - Utusan Malaysia

SIRIM kesan lambakan topi keledar tak diiktiraf di pasaran

Topi keledar
NUR Fadhilah Muhammad (dua, kiri) bersama pengurusan FKPM dan UiTM menunjukkan jenis topi keledar percuma yang diberikan SIRIM kepada pelajar di UiTM Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: SIRIM Berhad (SIRIM) masih mengesan terdapat peniaga yang menjual topi keledar tanpa pengesahan cap keselamatan daripada agensi kerajaan itu di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad berkata, pemeriksaan kualiti topi keselamatan itu adalah penting kerana mahu memastikannya mampu meminimumkan kecederaan kepada pemakainya sekiranya berlaku kemalangan.

“Sebanyak 12 buah syarikat pengeluar topi keledar yang mendapat pengiktirafan daripada SIRIM. Meskipun mendapat pengiktirafan daripada kami, syarikat ini diwajibkan menghantar produk yang baharu dikeluarkan bagi menjalani ujian kualiti daripada SIRIM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 570 topi keledar percuma kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada program anjuran Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM).

Beliau menambah, peniaga yang menjual topi berkenaan tanpa pengesahan SIRIM merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Mana-mana peniaga atau kedai yang menjualnya tanpa cop SIRIM boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh kementerian dan jabatan ini. 

“Ini kerana topi keledar adalah barangan yang dikawal selia, syarikat pengeluar dan pengedarnya diwajibkan menjalani pemeriksaan kualiti oleh SIRIM,” jelasnya.

Bagaimanapun, Nur Fadhilah menjelaskan, SIRIM tidak mempunyai maklumat anggaran jumlah pengeluar yang tidak mempunyai cap, namun pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara tersebut daripada orang awam.

Oleh demikian, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membeli topi keledar yang tidak mempunyai cop SIRIM.

Sekiranya mendapati ada kedai yang menjualnya tanpa cop SIRIM, beliau meminta orang awam membuat aduan kepada pihak KPDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya