TUARAN: Dua penumpang cedera dalam kemalangan melibatkan bas ekspres dan lori membawa muatan kayu di Jalan Tamparuli-Ranau awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, dua penumpang lelaki berusia 29 dan 31 tahun mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd. Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.04 pagi dan sembilan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati dua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu iaitu sebuah bas ekspres (Semporna-Kota Kinabalu) dan lori membawa muatan kayu.
“Kemalangan berpunca daripada bas ekspres yang merempuh belakang lori membawa muatan kayu tersebut semasa kenderaan sedang menuruni bukit berhampiran bulatan Tamparuli.
“Akibat rempuhan itu, dua penumpang lelaki dilaporkan mengalami kecederaan. Seorang penumpang yang dikenali sebagai Nursiq Rahim, 31, mengalami cedera parah manakala, seorang lagi mangsa iaitu Kantie Amir, 29, mengalami cedera ringan.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan Ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Sempora ke Kota Kinabalu itu membawa seramai 33 orang termasuk pemandu, pembantu pemandu dan penumpang.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada pukul 6 pagi tadi. –utusan