MELAKA: Perkenalan seorang pemilik tadika berusia 53 tahun dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya warga Taiwan hampir sebulan lalu membawa kepada kerugian lebih RM1 juta, selepas wanita itu ditipu oleh sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa mengenali suspek yang menggunakan nama Tan Sau Fung melalui laman sosial Instagramnya pada 27 April lalu.
Beliau berkata, suspek mendakwa tinggal di Jepun dan kedua-dua mereka sering berhubung menggunakan aplikasi dalam talian secara lisan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Katanya, suspek memberitahu mangsa dia sedang mencari pelabur untuk perniagaan laman sesawang jual beli barangan secara dalam talian yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.
“Pada 7 Mei lalu, suspek menawarkan mangsa supaya melabur dengan membeli barang dalam laman sesawang terbabit sebelum menjual semula dengan keuntungan 10 peratus bagi setiap barang.
“Disebabkan mangsa terlalu mempercayai suspek, dia membuat 28 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun bank berbeza diberikan lelaki berkenaan. Transaksi itu dilakukan dari 7 Mei sehingga 30 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan pemindahan wang sebanyak RM1.064 juta.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas diarahkan membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan komisyen yang kononnya diperoleh berjumlah AS$200,000 atau bersamaan RM923,685.55,” katanya semalam.
Menurut Zainol, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh di sini Rabu lalu selepas mendapati laman sesawang itu gagal diakses.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Sumber kewangan mangsa daripada wang simpanan dan meminjam ahli keluarga,” katanya. – UTUSAN