PUTRAJAYA: Selepas pulang dari melawat ahli keluarga di Singapura bulan lalu, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon pasportnya yang kini ditahan oleh mahkamah berkaitan kes jenayah, dikembalikan bagi membolehkannya melawat mereka di republik itu.
Permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan didengar di Mahkamah Rayuan esok. Notis permohonan difailkan melalui Tetuan Akberdin & Co. pada 2 Jun lalu.
Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu, Rosmah menyatakan akan berada di Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa dan keluarga yang menetap di sana.
Isteri bekas Perdana Menteri menyatakan, beliau akan berada di negara jiran itu selama empat minggu hingga bulan depan.
“Hingga hari ini saya tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah untuk sebutan dan perbicaraan tanpa alasan yang munasabah,” ujar beliau dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 2 Jun lalu.
Rosmah turut memberi akujanji untuk menyerahkan pasport itu kepada mahkamah selewat-lewatnya seminggu selepas pulang daripada lawatan tersebut.
Pada 21 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memulangkan semula pasportnya bagi membolehkan beliau melawat ahli keluarga termasuk seorang cucu yang sakit di Singapura.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan isteri Najib berada di negara itu selama enam minggu dan mengarahkan dokumen perjalanan antarabangsanya dipulangkan semula kepada mahkamah pada 10 Mei.
Mahkamah Rayuan dijangka mendengar rayuan Rosmah pada 11 hingga 14 Julai ini terhadap hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berkaitan kes solar.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 72, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mohamed Zaini (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.
Rosmah yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.
Isteri Najib itu turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbuatan itu dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapi Rosmah sebelum ini ditetapkan selama 15 hari antara 12 Mei dan 8 September ini.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 12 Mei lalu menangguhkan perbicaraan selepas Rosmah mengemukakan representasi bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7.1 juta serta lima pertuduhan pengelakan cukai yang dihadapinya.
Representasi tersebut antaranya mengandungi isu perundangan yang serius dan fakta-fakta tertentu yang mempunyai kaitan dengan kes projek solar yang mana isteri bekas Perdana Menteri disabitkan terhadap pertuduhan rasuah.
Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy melapangkan prosiding pada hari tersebut serta tarikh-tarikh terdahulu serta menetapkan 24 Ogos untuk keputusan representasi. Jika ditolak, bicara akan didengar pada hari yang sama. – UTUSAN