Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan - Utusan Malaysia

Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan

TANGKAP layar video yang memaparkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang memandu bersama rakannya yang ditahan orang awam dalam kejadian di Jalan Rozhan, Machang Bubok, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas videonya memandu sebuah kereta sejauh kira-kira empat kilometer tanpa lesen di Jalan Rozhan, Machang Bubok, dekat sini tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dua individu iaitu ibunya yang berusia lewat 40-an dan rakan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, terdahulu pihaknya mengesan video berdurasi 32 saat yang memaparkan suspek yang memandu bersama rakannya yang ditahan orang awam tular di media sosial.

“Susulan penularan video terbabit, polis berjaya menahan suspek bersama ibunya di hadapan flat Taman Machang Bubok pada hari sama.

“Rakannya berusia 13 tahun yang juga penumpang kenderaan ketika kejadian turut ditahan dan kita masih mengesan rakan-rakan suspek yang lain.

“Kita turut menyita kenderaan milik ibu suspek yang digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujar beliau, ibu suspek juga disaman mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

“Kita berharap ibu bapa dan masyarakat akan lebih prihatin dalam memantau anak-anak.

“Jangan benarkan mereka memandu atau menunggang tanpa lesen kerana ia membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya