Rakyat Malaysia di Russia dibawa pulang jika situasi makin buruk

Rakyat Malaysia di Russia akan dibawa pulang jika situasi semakin buruk

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Kerajaan akan membawa pulang kira-kira 755 rakyat Malaysia di Russia sekiranya keadaan keselamatan mereka tidak terjamin. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan situasi pergolakan di Russia terutamanya di Moscow.

“Tindakan-tindakan keselamatan termasuk jika keadaan tidak dapat menjamin keselamatan mereka, usaha ke arah untuk membawa mereka balik ke Malaysia sedang diatur oleh Wisma Putra. 

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau situasi di Russia dan kita harap kedudukan keselamatan terjamin,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort, di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Presiden FBINAA Antarabangsa, Tim Braniff; Penolong Pengarah Divisyen Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters. 

Semalam media melaporkan, tentera upahan Russia yang dikenali sebagai Wagner dan dipimpin Yevgeny Prigozhin memberontak menyerang Moscow selepas merampas sebuah bandar di selatan, semalam.

Bagaimanapun, mereka memutuskan untuk berundur selepas mengadakan perbincangan dipimpin oleh pentadbiran Belarus.

Hantaran di media sosial menunjukkan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera selatan Russia di Rostov-on-Don dan mengeluarkan peralatan ketenteraan dari bandar itu.

Terdapat rakaman video memaparkan Prigozhin meninggalkan Rostov-on-Don dengan menaiki kereta.

Wagner mendakwa tentera Russia menyerang pejuangnya kelmarin dan kumpulan itu kemudiannya menyeberang dari Ukraine ke bandar Rostov-on-Don.

Sebagai tindak balas, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan di Russia memulakan prosiding jenayah terhadap Wagner kerana ‘pemberontakan bersenjata’.

Presiden Russia Vladimir Putin melabelkan kebangkitan Wagner sebagai tindakan ‘pengkhianatan’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN