MELAKA: Inisiatif kerajaan mempercepat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga yang diterima bermula semalam memberi kelegaan kepada golongan B40 dalam meringankan beban kos sara hidup.
Ia sekali gus memberi kelegaan terutama kepada penerima dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidiladha, Khamis ini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, ibu tunggal, Siti Nurhayana Mokhtar, 45, berkata, bantuan STR sebanyak RM150 itu dapat meringankan perbelanjaan bulanannya bersama dua anak berusia empat dan tujuh tahun.
“Bantuan ini mungkin bukan jumlah yang besar bagi sesetengah orang, tetapi ia adalah bantuan yang tepat pada masanya untuk orang seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas mengambil bantuan itu di Bank Simpanan Nasional (BSN), Jalan Munsyi Abdullah di sini.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Dahlia Mokhtar, 48, berkata, keputusan kerajaan mempercepat bayaran STR membolehkan wang tunai sebanyak RM400 diterimanya digunakan sebagai persediaan menyambut Aidiladha.
“Saya harap bantuan STR ini dapat diteruskan cuma saya minta agar dapat ditambah di masa hadapan kerana kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Mohd. Daud Rasip, 53, kerajaan perlu meneruskan bantuan itu tahun berikutnya di samping jumlahnya ditingkatkan.
“Bantuan yang saya terima sebanyak RM150, walaupun tidak banyak saya bersyukur kerana keprihatinan pihak kerajaan untuk membantu,” katanya. – UTUSAN