Gaza bukan untuk dijual, Hamas sedia lepaskan kuasa

Gaza bukan untuk dijual, Hamas sedia lepaskan kuasa

BENDERA Palestin berkibar di tengah runtuhan bangunan di Beit Lahia, utara Gaza.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kumpulan pejuang Hamas menegaskan Semenanjung Gaza bukan untuk dijual dan konsisten menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) mengambil alih wilayah itu serta menjadikannya ‘zon kebebasan’.

Perkara itu ditegaskan Hamas beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump sekali lagi mencadangkan untuk mengambil alih wilayah tersebut.

Trump, semasa lawatan ke rantau Asia Barat, menyatakan kembali hasratnya agar AS ‘terlibat secara langsung di Gaza.

“Saya ada konsep untuk Gaza yang dirasakan sangat baik… biarlah Amerika Syarikat terlibat dan menjadikannya zon kebebasan,” kata Trump ketika berada di Qatar.

Kenyataan itu mengulangi idea yang pernah dikemukakannya pada Februari lalu, sehingga menerima kecaman meluas, untuk AS mengambil alih wilayah itu dan membangunkannya semula menjadi ‘Riviera Asia Barat’.

Pegawai kanan Hamas, Basem Naim menegaskan Gaza adalah sebahagian daripada tanah Palestin yang tidak boleh dipisahkan, bahkan bukan hartanah untuk dijual di pasaran terbuka.

Ketegangan terus memuncak di Gaza apabila penyelamat Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh pada Khamis akibat serangan udara Israel, dengan kemasukan bantuan kemanusiaan masih disekat sejak Mac.

Sekatan itu merupakan satu taktik yang menurut Israel bertujuan memaksa konsesi daripada Hamas.

BANTUAN KEMANUSIAAN

Bantuan ke Gaza dihentikan sejak 2 Mac, namun Hamas menegaskan pada Khamis bahawa pemulihan kemanusiaan ke wilayah itu adalah ‘syarat minimum’ untuk rundingan.

Sekatan bantuan oleh Israel berlaku sebelum operasi ketenteraan disambung semula pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata yang sebahagiannya menghentikan pertempuran sejak pertengahan Januari.

Selama beberapa minggu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bekalan makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan semakin berkurangan ke tahap kritikal.

Israel mendakwa, penghentian bantuan dan tekanan ketenteraan bertujuan untuk memaksa Hamas membebaskan tebusan yang masih ditahan sejak serangan Oktober 2023, yang mencetuskan perang.

Namun, Basem menegaskan, kemasukan bantuan ke Gaza adalah keperluan minimum bagi mewujudkan persekitaran rundingan yang kondusif dan membina.

“Akses kepada makanan, air dan ubat-ubatan adalah hak asasi manusia asas, bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan rundingan,” katanya.

Yayasan Kemanusiaan Gaza, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkata, ia akan mula mengagihkan bantuan kemanusiaan di Gaza bulan ini selepas berbincang dengan pegawai Israel.

“Seperti yang kami nyatakan berulang kali, pelan pengagihan ini tidak selaras dengan prinsip asas kami, termasuk prinsip kesaksamaan, berkecuali dan kebebasan operasi, dan kami kami tidak akan mengambil bahagian dalam perkara itu,” kata jurucakap PBB, Farhan Haq.

SEDIA KERJASAMA

Dalam wawancara bersama SkyNews kelmarin, Basem berkata, Hamas sudah berkongsi rancangan gencatan senjata secara langsung dengan pegawai Washington, termasuk tawaran untuk menyerahkan pentadbiran Gaza serta-merta sekiranya perang berakhir.

Beliau berkata, cadangan itu merangkumi pertukaran tahanan, pengunduran penuh tentera Israel, kemasukan bantuan tanpa sekatan ke Gaza serta pembinaan semula wilayah tanpa pemindahan penduduk secara paksa.

“Presiden Trump boleh melakukannya jika beliau memberi tekanan sewajarnya kepada Israel untuk menamatkan segera perang ini.

“Kami bersedia bekerjasama dengannya demi mencapai matlamat wilayah yang lebih aman,” katanya.

Isnin lalu, Hamas membebaskan tebusan warga Amerika-Israel, Edan Alexander, selaras dengan permulaan lawatan Trump ke Asia Barat, termasuk Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada hari sama, Hamas turut mengesahkan rundingan terus dengan Washington sedang berlangsung.

Laporan mengenai rundingan langsung antara AS dan Hamas menimbulkan kemarahan pihak berkuasa Israel.

Basem berkata, Hamas menerima cadangan damai Mesir yang merangkumi pembentukan badan pentadbiran bebas secara politik untuk mentadbir Gaza.

“Namun sebelum itu, selagi kami masih dijajah, kami berhak untuk mempertahankan rakyat dan menentang penjajahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN