Rakaman CCTV kemalangan SUKE dihantar makmal forensik - Utusan Malaysia

Rakaman CCTV kemalangan SUKE dihantar makmal forensik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Rakaman ka­mera litar tertutup (CCTV) membabitkan nahas penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale telah dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk penelitian lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tiada tangkapan setakat ini bagi kes terbabit.

“Rakaman CCTV di lokasi kejadian telah diteliti dan dihantar ke makmal forensik PDRM untuk kajian.

“Bedah siasat mangsa juga telah selesai dijalankan di Hospital Ampang pada Khamis dan jenazah telah diserah kepada waris. Sebab kematian mangsa adalah ‘beberapa kecederaan susulan kemalangan’,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihak polis menyeru orang ramai yang mengetahui kejadian dan saksi untuk tampil salurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada Rabu, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, mangsa yang melalui jalan berselekoh di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa bagaimanapun me­langgar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikal yang ditunggangnya terseret ke tengah jalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN