SHAH ALAM: Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof, 39, dan isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana, 38, tidak hadir ke mahkamah bagi sebutan kes injunksi hari ini.
Menurut peguam mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader, anak guamnya tidak dapat menghadiri sesi memfailkan jawapan afidavit di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, hari ini kerana mengalami sakit mata.
“Puteri Sarah tak dapat hadir hari ini disebabkan kurang sihat kerana ada masalah sakit mata.
“Sebentar lagi, kita failkan jawapan afidavit terhadap permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) mereka yang mendapat perintah halangan supaya jangan bercakap masalah keluarga dan sebagainya.
“Hari ini adalah tarikh untuk afidavit jawapan itu. Jadi kita dengarlah sama ada pihak Syamsul nak jawapan lagi atau tidak.
“Kalau dia tak nak jawab, mungkin Hakim minta untuk masuk ujian bertulis,” katanya kepada Utusan Malaysia sebentar tadi.
Manakala menurut peguam Syamsul Azmi Mohd Rais pula, anak guamnya Syamsul Yusof pula sibuk dengan aktiviti sebagai penggiat seni sehingga tidak berkesempatan menghadiri prosiding sebutan kes hari ini.
“Syamsul tak hadir kerana terikat dengan kerja-kerjanya melibatkan industri,” jawapnya.
Terkini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah memutuskan tarikh keputusan bagi kes Injunksi inter-parte pengarah Syamsul Yusof, dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, akan berlangsung pada 14 Ogos ini.
Dalam prosiding inter-parte itu nanti, hakim Syarie Abdul Halim Abdullah akan meneliti alasan yang dikemukakan kedua belah pihak bagi memutuskan sama ada injunksi akan dikekalkan atau diketepikan sehingga keputusan akhir.