Pusat panggilan penipuan pelaburan diserbu, 6 ditahan

Pusat panggilan penipuan pelaburan diserbu, enam ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan enam individu termasuk seorang warga China yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar Kajang, dekat sini, semalam. 

Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman membuat serbuan ke atas rumah berkenaan yang dijadikan sebagai pusat panggilan untuk aktiviti penipuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebanyak empat lelaki dan dua wanita berusia 25 tahun hingga 38 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

Kata beliau, sebanyak 19 unit telefon bimbit, empat unit komputer riba, dua unit router internet dan satu set kunci rumah dirampas.

“Hasil siasatan mendapati sindiket menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menawarkan pelaburan saham tidak wujud di China.

“Sindiket ini menggunakan akaun palsu Snowball Finance (Xueqiu) untuk mencari mangsa di China, seterusnya menawarkan pelaburan dalam talian.

“Xueqiu adalah sebuah laman web antara rangkaian sosial kewangan paling popular dalam kalangan pelabur di China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, polis ingin mengingatkan kepada mana-mana individu agar tidak bekerja dengan sindiket penipuan dalam talian dan menjadikan pekerjaan di pusat panggilan sindiket berkenaan sebagai sumber pendapatan.

“Pekerjaan seperti ini adalah satu kesalahan jenayah dan mereka yang terlibat boleh dituduh di mahkamah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114242,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN