PRN: Usaha, insiatif Kerajaan Perpaduan mampu tingkatkan kepercayaan pengundi - Utusan Malaysia

PRN: Usaha, insiatif Kerajaan Perpaduan mampu tingkatkan kepercayaan pengundi

FADHLINA Sidek dan Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya DUN Pinang Tunggal dan Hi Tea di Bertam Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pic: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Usaha Kerajaan Perpaduan yang didokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam memulihkan dan membangunkan semula negara sejak tujuh bulan lalu diyakini mampu meningkatkan sokongan pengundi terhadap gabungan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Fadhlina Sidek berkata, pelbagai inisiatif dikongsikan, malah khidmat berterusan kepada rakyat menunjukkan prestasi kerajaan secara keseluruhannya ketika ini dalam keadaan sangat baik.

“Sungguhpun begitu, kita masih perlu bekerja keras untuk memenangi semula kerusi yang sebelum ini dilihat sebagai bukan kalah, tetapi tidak cukup menang.

“Kita yakin dengan kekuatan jentera kita yang bergabung di bawah satu payung ditambah lagi dengan gerak kerja mantap dan kemas untuk memenangi PRN kali ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya DUN Pinang Tunggal dan Hi Tea di Bertam Resort, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau percaya aura positif yang dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi salah satu kekuatan dalam menawan hati pengundi.

“Saya berpandangan aura PM sangat baik dan ke mana saja beliau pergi, sambutan yang diterima amat menakjubkan, apatah lagi pelbagai inisiatif telah diumumkan untuk memudahkan rakyat.

“Kita akan teruskan kerja keras dan mengharapkan mandat rakyat diberikan kepada kita untuk memperkukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan ini.

“Kita perlukan mandat rakyat untuk menstabilkan negara khususnya meningkatkan ekonomi dan sosio ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya