KOTA BHARU: Cabaran ekonomi dan pengurusan sumber hasil baharu negeri merupakan antara sebab Pas Kelantan mempelbagaikan senarai calonnya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan, kerajaan negeri sudah lama menyusun kembali sumber ekonomi negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil balak.
Menurutnya, sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini sumber hasil utama negeri adalah hasil bumi dan perkhidmatan sekali gus meletakkan hasil balak sebagai sumber ketiga.
“Kelantan juga dirahmati dengan kepelbagaian unsur nadir bumi yang nilainya mencecah tidak kurang daripada RM125 bilion. Jika ada dasar yang kemas dan pengurusan yang baik kita akan dapat menggunakan hasil bumi ini pada tahap maksimum.
“Kita akan susun sebaiknya selepas PRN nanti supaya hasil unsur nadir bumi ini betul-betul memberikan manfaat kepada Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Jelajah Ceramah Ppakat Pertahan ‘Pas Pilihanku’ di Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, kerana itulah Pas Kelantan mempelbagaikan senarai calon PRN termasuk dari kalangan profesional menyaksikan mereka dari aliran keagamaan bukan lagi calon majoriti parti itu.
Katanya, dasar untuk pengeluaran unsur nadir bumi sudah ada di peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang akan diikuti oleh kerajaan negeri.
“Cabaran sebenar adalah dari segi pengurusan unsur nadir bumi supaya kita dapat keuntungan maksimum. Kita perlukan pakar dari kalangan profesional dan kerana itu kita mengemukakan 30 peratus muka dari pelbagai latar belakang baharu sebagai calon,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, antara sebab pendekatan itu diambil adalah untuk meneruskan kepemimpinan termasuk memenuhi cabaran ekonomi yang lebih besar pada masa akan datang.
“Kita percaya jika tidak 100 peratus, sebahagian besar nama-nama calon muka baharu serta profesional yang dikemukakan akan lulus tapisan Majlis Syura Ulama.
“Setakat maklumat yang ada pada kita, boleh dikatakan kesemua calon yang dikemukakan memenuhi kriteria yang sepatutnya,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya dapat terus memerintah negeri ini, sekira terus diberikan mandat, Pas selaku kerajaan negeri telah merancang untuk mengadakan seminar bagi meminta pandangan pakar-pakar mengenai cara terbaik menguruskan hasil bumi dengan lebih mampan. – UTUSAN