KUALA LUMPUR: Pergaduhan sesama sendiri dalam kerajaan perpaduan hanya akan memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Sehubungan itu penganalisis politik daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun menasihatkan semua parti untuk lebih berhati-hati dalam segala tindak-tanduk mereka bagi mengelak berlakunya kerosakan di ‘tangan’ sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ei Sun berkata, adalah lebih baik jika semua parti mengelak saling memperlekeh antara satu sama lain sebaliknya fokus hala tuju untuk meraih kemenangan dalam PRN nanti.
“Bukan lagi rahsia kerajaan perpaduan sekarang bagaikan sebuah ‘perkahwinan’ yang mudah. Menerusi dua gabungan komponen utama, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi rakan kongsi politik yang kelihatan aneh kerana kita semua tahu ini kerana mereka ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Malah mereka juga mempunyai pesaing yang sama dalam PN. Oleh itu, cetusan tidak senonoh seperti yang baru-baru ini disebut oleh Tony Pua bagaikan telah dijangka kerana kedua-dua gabungan itu mempunyai ideologi dan rayuan politik yang berbeza.
“UMNO juga telah berkata banyak perkara yang tidak begitu baik tentang DAP sebelum ini termasuk mendakwa DAP telah menjadi penghalang kepada UMNO. Penyokong masing-masing juga seolah-olah digalakkan untuk mengajuk kenyataan sedemikian dan mungkin mahu membalas dendam politik, termasuk mensabotaj satu sama lain,” katanya.
Tambah Ei Sun, jika mana-mana parti terus mengamalkan sikap buruk sedemikian, tidak mustahil mereka dengan mudah menyerahkan kemenangan kepada PN dalam pilihan raya kelak
Kelmarin, Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara menggelar BN yang kini bersama PH dalam kerajaan perpaduan sebagai pakatan korup ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menganggap Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Tasmania, Australia, Prof. Dr James Chin pula berkata, tidak kira mana-mana parti yang bertindak saling ‘menyerang’, mereka tidak akan bertembung dalam PRN nanti.
“Tidak kiralah DAP atau UMNO yang ‘menyerang’, realitinya mereka tidak akan bertembung. DAP menyasarkan kelompok kaum Cina dan India di kawasan bandar manakala UMNO pula sasarkan kelompok Melayu di kawasan luar bandar.
“Kedua-dua parti ini tidak akan bertembung. Jadi mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka suka sebab mereka sudah tahu dan ada penyokong sendiri.
“Apa yang penting, persoalannya sekarang adakah UMNO dan DAP boleh bertahan lama sehingga pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN










