KLANG: Pisau, parang dan golok yang digunakan untuk melapah daging laris walaupun dijual sekitar harga RM80 hingga RM350 sebilah berikutan permintaan tinggi pada Aidiladha.
Menurut seorang penjual, Syed Zulkifli Syed Ishak, 67, peralatan tersebut mendapat permintaan tinggi sejak akhir-akhir ini apabila terjual sekitar 10 hingga 20 bilah sehari bagi kegunaan melapah daging ternakan korban.
Katanya, sejak dua bulan lalu, kedainya di Pasar Besar Meru menerima kunjungan ramai pelanggan, lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Permintaan luar musim korban memang tidak banyak tetapi saat ibadah korban makin dekat ramai yang datang ke sini. Harga pisau melapah dan golok berbeza mengikut saiz dan kualiti pembuatannya. Untuk pisau melapah harganya antara RM80 hingga RM150.
“Harga golok untuk menyembelih dan memotong tulang pula antara RM260 hingga RM350. Peralatan itu dijual pada harga tersebut kerana bekalannya diambil daripada pusat pembuatan seni tempa di Kampung Changkat, Bukit Chandan di Kuala Kangsar, Perak,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, pisau, parang dan golok itu bukanlah sekadar untuk tujuan memotong semata-mata, sebaliknya diletakkan seni pada setiap bilah bagi menampilkan ciri-ciri keistimewaannya yang digunakan khusus untuk ibadah korban.
“Besi bilah dibawa khas dari Kuala Kangsar, sementara sarungnya saya buat mengikut kreativiti sendiri bagi menarik perhatian peminat pisau dan golok. Alhamdulillah sejak bersara daripada syarikat swasta 10 tahun lalu, saya menjadikan hasil jualan pisau dan golok sebagai sumber rezeki,” jelasnya.
Katanya, untuk melaksanakan ibadah korban terutama menyembelih haiwan ternakan memerlukan pisau yang berkualiti dan tajam bagi memastikan sembelihan sempurna menepati syariat Islam.
“Bimbang jika pisau yang digunakan tumpul dan tidak mampu menyembelih dengan sempurna akan menyebabkan haiwan terseksa. Pisau yang tajam mempercepat dan memudahkan proses penyembelihan, sejajar syariat agama,” jelasnya. – UTUSAN










