BAGAN DATUK: Seorang bapa merayu sumbangan orang ramai untuk membiayai kos rawatan susulan anak lelakinya berusia 14 tahun yang menjalani pembedahan tulang belakang bengkok.
Lelaki tersebut, Murad Samsuddin, 45, Kampung Tebing Rebak, Sungai Dulang di sini berkata, anaknya, Muhammad Farez Murad, 14, perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas menjalani pembedahan tulang belakangnya yang bengkok.
Katanya, rawatan susulan selepas pembedahan itu penting untuk mengatasi masalah rasa sakit pada fizikal atau pergerakan yang terbatas anaknya itu.
Menurutnya, anaknya itu merupakan orang kurang upaya (OKU) dan masih sekolah, menjalani pembedahan 15 Mei lalu.
“Walaupun sudah membuat pembedahan namun kami tetap bimbang kerana dia tidak selesa, tidak boleh duduk lama, berbaring atau berdiri kerana keadaan badannya akan menjadi bongkok,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dengan pendapatannya sebagai penjual pisang goreng, dia tidak mampu menampung menanggung kos untuk rawatan susulan anaknya itu.
“Saya memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan susulan, mungkin setiap minggu atau bulan untuk rawatan di hospital di Ipoh,” katanya.
Dia turut menceritakan terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk mendapat kos pembedahan anaknya berjumlah RM24,000.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun BSN iaitu 0824441100003355 atas nama Haniza Jalai atau menghubungi nombor telefon 01153564342. –utusan










