Perubahan drastik KLIA dalam tempoh 3 tahun

Perubahan drastik KLIA dalam tempoh 3 tahun

ANTHONY Loke bersama Ketua Pegawai Eksekutif Capsule Transit, Ryan Loo (tiga kanan) selepas menandatangani gimik pelancaran penginapan Capsule Transit di KLIA Terminat 1, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pengangkutan yakin bahawa perubahan drastik ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan dapat dilihat dalam masa tiga tahun akan datang, sekali gus mencapai semula rekod sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedudukan KLIA Terminal 1 ketika ini agak rendah berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh penilai antarabangsa Skytrax dan semakin merosot sejak 10 tahun lalu.

“Kita lihat kedudukan (KLIA Terminal 1) semakin meorosot dan ia merupakan satu kebimbangan. Jadi kita perlu kembalikan (semula) kedudukan lapangan terbang ini kerana ia melambangkan imej negara.

“Lapangan terbang di rantau ini semua sedang berusaha untuk naik taraf, justeru KLIA juga mesti buat penambahbaikan dan meningkatkan imej serta prestasi. Ketika ini, beberapa projek sedang berjalan termasuk prasarana yang perlu ditambah baik seperti aerotrain dan sistem pengendalian bagasi.

“Dari segi mutu perkhidmatan, ekosistem, kemudahan hotel dan peruncitan semuanya harus lah seiring bagi menjadikan KLIA (kembali) hebat di mata dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penginapan Capsule Transit di KLIA Terminal 1, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, KLIA Terminal 1 perlu berusaha sedaya upaya untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan mereka termasuk mengambil pendekatan serta strategi dalam menjadikannya sebagai sebuah hab penerbangan di rantau Asia Tenggara.

Jelas beliau, itu merupakan hasrat Malaysia ketika KLIA mula dibuka kira-kira 25 tahun yang lalu.

“Sebenarnya banyak yang kita boleh laksanakan dengan menjadikan ia bukan sahaja sebagai hab untuk penumpang tetapi juga sebagai hab kargo kerana Malaysia memang ada potensi besar menjadi hab kargo udara di rantau ini.

“Kita mempunyai lokasi dan tanah yang besar serta ada beberapa projek e-commerce yang dibangunkan di kawasan KLIA ini. Apa yang perlu kita laksanakan tanpa henti adalah menambah baik perkhidmatan, tahap servis serta kompetensi,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kedudukan KLIA Terminal 1 yang dilihat jauh ketinggalan berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Anthony Loke berkata, beliau percaya KLIA mampu bersaing dengan negara luar terutamanya Changi.

“Saya cabar MAHB (Malaysia Airports Holding Berhad) supaya melihat Changi sebagai satu pesaing, kita mesti berusaha untuk menandingi kedudukan mereka. Sebenarnya tiada apa yang kita tak boleh buat untuk menandingi mereka, dari segi tanah dan sumber semua kita ada, jadi apa yang kita tak boleh saingi?

“Di rantau Asia memang ada banyak lapangan terbang sebagai penanda aras seperti Bangkok dan Hong Kong. Memang hasrat dan visi semasa KLIA dibuka, kita kita memang nak jadi hab pengangkutan udara,” katanya.

Berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh penilai antarabangsa Skytrax, KLIA berada di tangga ke-67 dalam senarai lapangan terbang terbaik dunia 2023 daripada kedudukan ke-62 pada tahun sebelumnya.

Rekod terbaik yang pernah dicapai oleh KLIA adalah di tangga kedua pada tahun 2001, sebelum merosot ke kedudukan ke 14 pada 2013 dan ke 44 pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya