PUTRAJAYA: Tindakan undang-undang lebih tegas perlu diambil terhadap mereka yang mencuri kabel elektrik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perbuatan itu bukan kesalahan biasa kerana turut melibatkan keselamatan awam.
Katanya, beliau turut menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu.
“Saya juga telah meminta polis untuk mengambil tindakan bukan hanya di bawah kesalahan mencuri, kerana ini melibatkan keselamatan umum,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau mengulas kes kecurian kabel yang dibimbangi boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren ECRL.
Kebimbangan itu turut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Darwis Abdul Razak kerana beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL.
Katanya, kes itu meningkatkan kos baik pulih dan berisiko menunda jadual ujian dan pentauliahan tren. – UTUSAN










