ARAU: Siapa sangka percubaan seorang lelaki berusia 58 tahun menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi subjek Matematik sebagai calon persendirian membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran itu.
Kira-kira 41 tahun lalu, sekitar 1982, Hamidan Yahaya hanya memperoleh keputusan lulus SPM dalam subjek tersebut sekali gus menjadi pendorong kepadanya agar suatu masa nanti dapat menduduki semula peperiksaan berkenaan.
Hamidan juga tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata seolah-olah tidak percaya memperoleh keputusan A saat mengambil keputusan di Jabatan Pendidikan negeri di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemandu awam Kementerian Pertahanan di Kem Bukit Keteri itu berkata, dia menggunakan masa lapang khususnya pada waktu malam untuk belajar sendiri subjek berkenaan sebelum menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.
Katanya, meskipun sukar, dia tetap mencari penyelesaian bagi setiap soalan hanya melalui rujukan buku teks yang dibeli sendiri.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia juga mendapat sokongan dan galakan daripada isteri dan anak-anak untuk menduduki peperiksaan tersebut.
“Saya belajar sendiri tanpa tuisyen, guru ataupun rakan-rakan. Saja mahu cuba dan tidak sangka memperoleh keputusan A.
“Dalam proses ulang kaji sebelum peperiksaan, satu soalan kadangkala mengambil masa tiga hari untuk selesai. Lepas itu, saya terus berusaha mencari penyelesaian bagi setiap soalan,” katanya yang bakal bersara daripada perkhidmatan pada tahun 2025.
Tambah Hamidan, dalam peperiksaan Matematik sebelum ini, dia melihat soalan bagi kertas satu lebih sukar berbanding kertas dua.
“Tidak sangka pula saya betul-betul dapat A, ingat sekadar boleh lulus sahaja. Saya juga ingat formula-formula dalam Matematik iaitu kira-kira 50 formula yang sekali gus banyak membantu saya menyelesaikan setiap persoalan,” katanya. – UTUSAN