Penyeludup lari tinggalkan 1, 814 kg minyak masak

Penyeludup lari tinggalkan 1, 814 kg minyak masak

ANGGOTA KPDN Kelantan memeriksa minyak masak peket bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di Tumpat, Kelantan. - GAMBAR IHSAN KPDN KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sekumpulan penyeludup yang ‘ligat’ memunggah kotak-kotak minyak masak peket bersubsidi lari lintang-pukang selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di jalan Wakaf King, Palekbang, di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 12.55 tengah hari itu, KPDN Kelantan merampas 1, 814 kilogram minyak masak yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat, risikan sepasukan anggota mengekori dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan arah Kubang Kerian menghala ke Tumpat.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati sekumpulan individu sedang memunggah kotak-kotak dipercayai mengandungi minyak masak.

“Anggota bertugas kemudian membuat serbuan dan terkejut dengan kehadiran KPDN menyebabkan kumpulan lelaki itu bertindak melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua buah kereta itu membawa kepada penemuan kotak berisi minyak masak paket berjumlah 1,819 kg,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman memberitahu, selepas satu jam serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan berumur 30an tampil mengaku barangan tersebut dan kereta adalah miliknya.

Katanya, bagaimanapun suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan yang berada dalam kedua-dua buah kereta itu.

“Suspek ditahan bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai rampasan barang kawalan yang disita termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM 39,547.50,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya