Penjurian AIM ketat, diaudit badan bebas - Utusan Malaysia

Penjurian AIM ketat, diaudit badan bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menafikan berlaku berat sebelah terhadap pemilihan pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti yang didakwa beberapa pihak sebelum ini.

Jelas pengerusinya, Rosmin Hashim, berat sebelah atau ketidak telusan terhadap keputusan dalam anugerah bersprestij itu tidak berlaku kerana adanya proses pemilihan yang ketat dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak berkepentingan.

“Keputusan tidak dibuat berdasarkan perbincangan dalam kalangan juri, sebaliknya ditentukan oleh pemarkahan tertutup yang mereka berikan.

“Pemarkahan tersebut kemudiannya diaudit dan dikira pihak ketiga atau badan bebas yang tidak berkepentingan dan bebas daripada pengaruh pihak lain termasuklah penganjur AIM.

“Mungkin yang buat andaian itu tidak faham dengan sistem pemilihan ini. Kita ada proses dan sistem yang ketat dan telus. Keputusan berat sebelah tidak akan dibiarkan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Sumbangan Rahmah Industri Muzik dan Ramah Mesra Artis di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Terdahulu, beberapa bekas juri AIM mendakwa berlaku ketidak telusan dalam proses pemilihan pemenang bagi penganugerahan tersebut.

Dalam masa yang sama, Rosmin memaklumkan amat penting bagi pihak penganjur melantik individu yang benar-benar layak untuk menjadi juri AIM.

“Juri yang dilantik adalah penggiat muzik yang pakar dalam kategori masing-masing. Mereka tidak akan dipilih sekiranya berkepentingan atau lagu-lagu mereka dipertandingkan dalam kategori yang mereka jurikan.

“Pihak ketiga atau auditor dilantik pula adalah firma bertauliah yang berkredibiliti tinggi. Mereka menjaga reputasi dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Ini antara element yang membuatkan AIM lebih dihormati dan dihargai berbanding acara penganugerahan lain kerana kemenangan setiap kategori dipertandingkan dalam penganugerahan ini bukan berdasarkan populariti sebaliknya kualiti dan kelayakan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya