Peniaga tertekan sewa tapak naik dari RM36 kepada RM900 sebulan - Utusan Malaysia

Peniaga tertekan sewa tapak naik dari RM36 kepada RM900 sebulan

SEBAHAGIAN peniaga asal di Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah menyerahkan memorandum kepada wakil Ketua Menteri di George Town, Pulau Pinang hari ini berhubung isu kenaikan kadar sewa di tapak perniagaan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Para peniaga asal Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah di sini memohon kerajaan negeri menyemak semula kadar sewa yang dikenakan terhadap peniaga yang bakal memulakan perniagaan kembali di kompleks itu dalam tempoh terdekat.

Kompleks itu yang terbakar kira-kira tiga tahun lalu telah siap dibina semula oleh kerajaan negeri dengan kos RM3.49 juta dan dijangka beroperasi semula tahun ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah, Mat Adenan Abd. Aziz berkata, sebanyak 33 peniaga asal kompleks itu tidak mempunyai pendapatan tetap selepas medan selera itu terbakar tiga tahun lalu.

”Kami dimaklumkan perlu membayar sewa RM900 sebulan di unit gerai baharu di kompleks tersebut, sebelum ini kami hanya perlu membayar RM36 sebulan sahaja.

”Kami kesal kerana kadar sewa telah dinaikkan sebanyak 2,500 peratus oleh syarikat swasta yang dilantik oleh Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) untuk menguruskan kompleks berkenaan yang sebelum ini diuruskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kenaikan kadar sewa itu kepada wakil Ketua Menteri di Komtar, di sini hari ini.

Dalam kejadian 7 November 2020, medan selera itu yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran, namun tiada mangsa terlibat.

Susulan kejadian itu, kerajaan negeri membangunkan semula medan selera yang kini mempunyai perakuan indeks bangunan hijau (GBI) pertama di Pulau Pinang.

Menurut Mat Adenan, para peniaga merayu kerajaan negeri menurunkan kadar sewa sehingga RM300 sebulan bagi mengurangkan beban peniaga.

”Kadar sewa RM900 terlalu tinggi, kami tidak mampu membayar kadar berkenaan setiap bulan kerana kami baharu sahaja mahu memulakan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, para peniaga asal juga meminta kerajaan negeri untuk menilai semula tindakan CMI yang melantik syarikat swasta menguruskan kompleks berkenaan.

”Kami mendesak CMI tidak melihat medan selera ini sebagai alat untuk CMI meraih keuntungan semata-mata kerana medan selera ini adalah medan selera mesra rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya