TAIPING: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya yang berusia 13 tahun, bulan lalu.
Tertuduh berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara kanak-kanak perempuan yang juga anak tirinya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Rumah Murah Batu 4, Bandar Kamunting pada pukul 1.30 pagi, 24 Mei 2023 dan di hadapan sebuah pasar raya di Taiping pada pukul 9 malam, 27 Mei 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh mengambil kira faktor keselamatan kanak-kanak itu dan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikenakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sementara itu dalam prosiding di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan isterinya di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita berusia 37 tahun itu dengan menggunakan sebilah pisau berhulu kayu di Rumah Murah Batu 4 di Bandar Kamunting pada 9.30 malam, 23 Mei 2023.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan kesalahan mengikut seksyen yang relevan.
Terdahulu, Mohd. Waffy menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya diberikan jaminan kerana enggan masuk kembali ke dalam penjara.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati dan mengganggu mangsa selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 8 Ogos depan. – UTUSAN










