Penduduk gempar beruang matahari berlegar di kampung - Utusan Malaysia

Penduduk gempar beruang matahari berlegar di kampung

TANGKAP layar daripada video menunjukkan seekor beruang matahari berlegar di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hari ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di sekitar Kampung Labohan, Kerteh, dekat sini, gempar dengan kemunculan seekor beruang matahari yang berlegar di sekitar Kampung tersebut, sejak minggu lalu.

Salah seorang penduduk, Zamri Mohamad, 48, berkata, dalam kejadian terbaru, beruang yang dianggarkan setinggi lebih satu meter itu dikesan sedang mencari makanan berhampiran pokok nangka di hadapan kediamannya, pada Isnin lalu. 

“Kira-kira pukul 5 petang, Isnin lalu, ketika saya sedang memberi ayam makan, tiba-tiba saya ternampak kelibat beruang tersebut sangat hampir dengan saya. 

“Saya memang terkejut dan terus masuk ke dalam rumah sebab bimbang kalau-kalau beruang tersebut bertindak ganas. Beruang itu berlegar lebih 10 minit di sekitar pekarangan rumah saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Labohan, Kerteh, di sini,  hari ini. 

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, mereka sekeluarga serta penduduk kampung lain tidak berani keluar lewat petang dan malam kerana bimbang jika bertembung dengan haiwan liar tersebut. 

“Saya tengok beruang itu memang besar dan kukunya tajam. Ada beberapa kesan cakaran kuku beruang itu pada pokok nangka dan kuini di hadapan rumah saya,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Labohan, Mohd. Nor Abdul Samad berkata, beruang yang dipercayai datang dari kawasan bukit berhampiran dikesan merosakkan kebun dan pokok kelapa penduduk kira-kira dua bulan lalu. 

“Sekarang ini beruang tersebut mula masuk ke kawasan kampung dan kita bimbang keselamatan penduduk. 

“Mungkin sekarang ini musim buah dan ia menjadi tarikan kepada beruang untuk mencari makanan dalam kampung,” katanya. 

Menurutnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang perangkap bagi menangkap beruang tersebut, pada Selasa lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya