Pembeli tuntut pemaju siapkan pangsapuri - Utusan Malaysia

Pembeli tuntut pemaju siapkan pangsapuri

SEBAHAGIAN pembeli menunjukkan projek pembinaan pangsapuri penjawat awam yang masih terbengkalai di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lebih 120 pembeli menuntut pemaju menyiapkan segera pembinaan pangsapuri penjawat awam di Lembah Sireh, di sini yang terbengkalai.

Salah seorang pembeli, Dr. Maryam Azlan, 43, berkata, projek tersebut mula dijual tujuh tahun lalu kepada kumpulan sasar dalam kalangan penjawat awam yang kebanyakannya menandatangani perjanjian itu pada 2017 dan 2018.

Menurutnya, masih terdapat pembeli menandatangani perjanjian tahun ini untuk mendapatkan rumah yang pada awalnya dijanjikan siap tahun 2020 lalu.

“Kami faham projek itu tergendala disebabkan penularan pandemik covid-19, namun sehingga kini rumah dibeli belum disiapkan. Malah projek itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan dan berada pada tahap yang sama.

“Alasan diberikan pihak pemaju adalah tidak cukup pekerja berikutan sekatan kemasukan pekerja asing oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama sekumpulan wakil pembeli di Lembah Sireh, di sini semalam.

Dr. Maryam memberitahu, tempoh maksimum perjanjian projek berkenaan adalah 36 bulan dan selepas itu pembeli perlu mula membayar ansuran bulanan tanpa mengira sama ada rumah tersebut sudah siap atau sebaliknya.

“Ada antara kami buat pinjaman bank dan ada juga melalui Lembaga Pembiayaan Pinjaman Sektor Awam (LPPSA). Kebanyakannya sudah mula membayar ansuran bulanan termasuk saya sendiri dengan kadar sekitar RM1,500 sejak 2021.

“Setelah sekian lama ada antara kami terpaksa menyewa dan membeli rumah lain. Namun terpaksa meneruskan bayaran bulanan untuk rumah ini. Menjadi satu bebanan untuk membayar dua rumah dalam masa yang sama,” jelasnya.

Seorang lagi pembeli, Siti Alizam Shafie, 35, berkata, kehidupan pembeli semakin terhimpit apabila tidak dapat membatalkan perjanjian jual beli rumah kerana ia akan melibatkan kadar pembayaran agak tinggi sehingga mencecah sekitar RM30,000.

“Terbaharu, pihak pemaju mengatakan projek akan siap pada September nanti. Kemudian pada hujung tahun ini. Selepas itu mereka memaklumkan sedang menunggu laporan perkembangan projek daripada pihak pelaksana projek.

“Mereka tidak beri tarikh tepat penyiapan projek. Kami juga ada berhubung dengan pihak guaman dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meminta bantuan mereka agar menggesa pemaju menyiapkan segera projek perumahan ini,” jelasnya.

Sementara itu usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pemaju tidak membuahkan hasil apabila gagal dihubungi.

Pangsapuri 29 tingkat untuk kakitangan awam di Lembah Sireh tersebut mempunyai 2,120 unit terdiri daripada enam blok kediaman, surau, tadika, taska, dan lain-lain di atas tanah seluas 4.01 hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya