KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir sebuah kementerian didenda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menaikkan jumlah peserta dalam invois tuntutan sebuah syarikat.
Hakim Suzana Hussin turut memerintahkan tertuduh, Nurul Azirah Kamaruddin, 37, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Nurul Azirah yang merupakan pembantu tadbir perkeranian dan operasi Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) didakwa telah menerima wang tunai RM4,797.50 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Wang tersebut adalah sebagai dorongan untuk menaikkan jumlah peserta di dalam invois yang dituntut syarikat pembekalan makanan itu daripada kementerian terbabit, enam tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 April 2018 di Maybank Desa Jaya, Kepong, di sini.
Pertuduhan terhadap ibu kepada lima anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Menurut fakta kes, salah seorang pekerja syarikat pembekalan makanan tersebut telah menghubungi tertuduh dan meminta tolong daripadanya agar menaikkan jumlah peserta Bengkel Akta Pengurusan Strata anjuran KPKT di Langkawi, Kedah dalam invois berkenaan daripada 34 orang kepada 85 orang.
Pada 12 April 2018, syarikat itu telah menerima bayaran daripada KPKT bagi perkhidmatan pembekalan makanan untuk 85 orang peserta bengkel itu dan tertuduh mengaku telah menerima RM4,797.50 daripada jumlah bayaran tersebut.
Terdahulu, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda yang ringan atas alasan Nurul Azirah mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah dan anak bongsunya pula telah disahkan mengidap autisme.
“Tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang. Tambahan pula tindakan disiplin di jabatannya sedang menunggu dan dia mungkin dibuang kerja. Mohon hukuman denda ringan,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan penjawat awam yang seharusnya menjaga nama baik sektor kerajaan. – UTUSAN