Pelitup muka tidak wajib di pengangkutan awam, premis kesihatan

Pelitup muka tidak lagi wajib dalam pengangkutan awam, premis kesihatan mulai 5 Julai

Pelitup muka
PEMAKAIAN pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam dan premis kesihatan berkuat kuasa 5 Julai ini, kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Itu kelonggaran terbesar terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak Malaysia memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April tahun lalu.

Kata Zaliha, keputusan itu dibuat susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu bahawa status Covid-19 tidak lagi berada pada kategori Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC).

Justeru, kata beliau, Kementerian Kesihatan telah membuat semakan semula dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

“SOP pemakaian pelitup muka yang dahulunya diwajibkan ke atas pesakit Covid-19, semasa berada di dalam pengangkutan awam (kecuali kapal terbang) dan di fasiliti kesihatan, telah dikemas kini mengikut ketetapan berikut dan berkuat kuasa mulai 5 Julai 2023.

“Individu dikehendaki memakai pelitup muka adalah bagi kes positif Covid-19 dan ketika berada di fasiliti kesihatan mengikut amalan Kawalan dan Pencegahan Infeksi semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit,” katanya dalam kenyataan.

Namun katanya, pemakaian pelitup muka amat digalakkan berdasarkan penilaian kendiri bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan di lokasi pengudaraan kurang baik.

Beliau juga menggalakkan pemakaian pelitup muka terhadap individu yang bergejala respiratori bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas atau van pekerja dan bas atau van sekolah.

Dari segi prosedur pengasingan kes disahkan Covid-19, arahan pengasingan kes diteruskan dengan tempohnya dipendekkan dari tujuh hari kepada lima hari daripada gejala pertama.

“Ini adalah berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama gejala dengan viral load yang tinggi pada tempoh tersebut. la berkuat kuasa mulai 5 Julai 2023,” katanya.

Sepanjang Jun ini, bilangan kes baharu Covid-19 telah menunjukkan penurunan sebanyak 53.5 peratus (5,801 kes kepada 2,698 kes) dan kes kematian juga menurun 35.3 peratus (17 kes kepada 11 kes).

Dari segi kapasiti hospital, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan pengisian katil fasiliti menurun manakala peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal stabil pada enam peratus.

Sehingga 27 Jun ini, sebanyak 16,337,744 (50 peratus) penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (825,275) sahaja menerima dos penggalak kedua.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat pada 30 Jun dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi, iaitu sehingga 31 Disember ini.

“Pelanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di Malaysia.

“Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Aidiladha dan juga Pilihan Raya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian yang dilaporkan untuk mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan.

“Kementerian menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kawalan kendiri yang baik seperti yang diamalkan pada masa ini, termasuk memastikan kebersihan diri bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit berjangkit termasuk Covid-19.

“Orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar bagi melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti terutamanya golongan berisiko tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya