NEW YORK: Pelakon yang terkenal dengan watak Markowski menerusi rancangan televisyen popular Breaking Bad, Mike Batayeh meninggal dunia pada usia 52 tahun.
Keluarga mendiang memaklumkan kepada portal TMZ Batayeh meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Michigan akibat serangan jantung pada 1 Jun lalu.
“Mereka yang mengenali mendiang akan merindui lawak jenaka dan sifat cerianya” jelas keluarganya dalam kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu portal USA Today melaporkan upacara pengebumiannya akan dilakukan pada 17 Jun ini di Gereja Risen Christ, Playmouth, dekat sini.
Selain membintangi Breaking Bad, Mike juga merupakan pelawak terkenal yang pernah muncul dalam beberapa program televisyen lain seperti The Bernie Mac Show, Boy Meets World dan CSI: Miami.
Mendiang juga merupakan pelawak kelahiran AS pertama yang diberi penghormatan untuk membuat persembahan stand up comedy di beberapa tempat di Timur Tengah seperti Dubai, Mesir, Lubnan, Nazareth dan Jordan.
Kali terakhir Mike muncul di televisyen adalah menerusi rancangan Prank of America yang ditayangkan pada 2018. Sementara itu, perkongsian terakhir Mike di Instagram dibuat pada 24 Mei lepas.