Pelajar ikat perut, kos sara hidup meningkat

Pelajar ikat perut, kos sara hidup meningkat

KERATAN laporan akhbar Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kadangkala saya berpuasa, sahur sekadar makan biskut dan berbuka puasa dengan roti, sekadar alas perut.”

Demikian luah pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurfatin Farahanim Mazlan, 23, berhubung cabaran kos sara hidup membelenggu golongan pelajar.

Katanya, dia berdepan pelbagai masalah kewangan di universiti sehingga terpaksa berpuasa untuk mengurangkan perbelanjaan.

“Di situ saya dapat berjimat tanpa mengeluarkan duit yang lebih untuk makan di kafeteria. Jika saya tak puasa, saya beli makanan sehari sekali tetapi nasi dan lauk dalam kuantiti yang banyak supaya saya dapat bahagikan makan tengah hari dan malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan hampir semua peniaga di seluruh negara berdepan cabaran apabila jumlah pelanggan kedai makan merosot antara 30 hingga 60 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Tinjauan di Selangor, Pahang, Johor dan Perlis mendapati ramai yang mengeluh dan mendakwa mereka terpaksa mengurangkan kuantiti masakan bagi mengelakkan juadah tidak habis dan menambahkan lagi kerugian.

Perkara itu didakwa berpunca daripada pelanggan yang mengambil langkah berjimat ketika berdepan kos sara hidup yang meningkat.

Menurut Nurfatin Farahani, duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dapat menampung kos untuk satu semester dan dia perlu mengira kos lain yang perlu ditanggung sebagai seorang pelajar.

“Duit PTPTN hanya mampu tampung sehingga bulan ketiga dalam semester tersebut, itu pun kalau saya berjimat kerana perlu menggunakan wang untuk dibelanjakan pada subjek-subjek yang saya pelajari.

“Sebagai pelajar, saya banyak keluarkan duit untuk kos percetakan. Saya akan pilih kedai yang paling murah untuk mencetak kerja atau tugasan diberikan pensyarah. Saya terpaksa naik kereta sapu iaitu pengangkutan dalam kampus selain bas kerana terlambat ke kelas seterusnya,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan Tekonologi Media, Jennisey Sarafinx Siti Anak Mike, 23, berkata, harga makanan di kampus sekarang semakin meningkat dan menunjukkan perbezaan yang ketara disebabkan harga barang semakin meningkat.

“Kalau sebelum ini saya ambil nasi berserta tiga lauk masih lagi RM8 tetapi sekarang lauk yang sama kuantiti yang sama harganya meningkat kepada RM12, bahkan ada kedai yang lebih mahal daripada ini.

“Kami pelajar tidak dibenarkan masak dalam bilik kediaman dan pilihan yang saya ada adalah makan di kafeteria. Kos makan saya untuk sehari dalam RM10 dan saya akan makan atau bungkus dalam kuantiti yang banyak supaya dapat makan dua kali,” katanya.

Jennisey berkata, dia terpaksa bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian serta tidak mahu menyusahkan kedua orang tuanya.

“Duit pinjaman PTPTN juga tidak dapat membantu sehingga akhir semester kerana baki yang tinggal selepas bayar yuran dan penginapan hanya cukup untuk dua hingga tiga bulan.

“Oleh itu saya bekerja sambilan sebagai pembantu kedai di dalam kampus untuk menampung perbelanjaan harian. Sekarang RM50 tidak cukup untuk membeli keperluan peribadi seperti sabun mandi, ubat gigi dan sabun basuh baju kerana harga makin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN