Pas sekarang sama dengan yang dulu

Pas sekarang sama dengan yang dulu – Muhammad Khalil Abdul Hadi

Perjuangan Pas yang kini diterajui Abdul Hadi Awang tetap sama dengan kepemimpinan sebelum ini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak Presiden Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan Pas yang ada pada hari ini tetap sama ketika ia dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Mursyidul Am parti itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang menyelar kenyataan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kononnya parti itu sekarang berbeza dengan dulu, berkata, parti Islam itu masih berpaut dengan perjuangan yang bersandarkan pada

Perlembagaan iaitu memperjuangkan hak bangsa Melayu dan dalam masa sama mengasihi kaum-kaum lain.

Keadaan itu katanya, berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini kerana parti Islam itu tidak sesekali memperjuangkan hak orang Melayu yang terpalit kesalahan di mahkamah namun diberi pula jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

“Kalau cakap politik, Pas dulu memang berbeza dengan sekarang. Dulu Pas hanya ada di empat buah negeri. Kalau dulu juga tiada kerusi ahli Parlimen, sekarang Pas paling banyak kerusi berbanding parti politik lain.

“Saya setuju dengan kenyataan anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Aziz sebelum ini yang berkata, tindakan Tok Guru ketika itu adalah bergantung dengan situasi politik ketika itu.

“Sekarang tok guru sudah meninggal, jadi kita perlu baca berdasarkan situasi politik dalam keadaan semasa.

“Sebab itu saya percaya, kalau Ustaz Fadhil Noor atau Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih hidup, mereka akan sokong apa yang Pas buat hari ini kerana Pas masih sama dengan perkara yang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, pendekatan parti itu hari ini cukup berbeza dengan tindakan kepemimpinan terdahulu parti itu.

“Semasa saya berurusan dengan Allahyarham Ustaz Fadzil dan Nik Abdul Aziz, bukan begini cara politik Pas,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Muhammad Khalil yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, kenyataan itu hanyalah untuk mengaburi kelemahan kerajaan kini yang sepatutnya difokuskan lebih kepada ekonomi negara.

“Saya rasa pimpinan PH dan BN mahu menutup isu ekonomi yang sangat dirasai oleh rakyat pada hari ini. Saya sebenarnya bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyebut, patutnya isu 3R tidak ditimbulkan, mereka tidak tahu ke mana hala tuju yang dibawa Anwar Ibrahim.

“Dan kalau kita lihat isu perkauman yang ditimbulkan, sebenarnya kita perlu beza antara taksub kepada kaum dengan kasih kepada kaum. Apa yang dibawa dalam Pas adalah konteks sayang dan kasih Melayu bumiputera, ini perjuangan Pas sejak ditubuhkan lagi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin berhubung pemimpin baharu Pas yang didakwanya cenderung menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Jelas Saifuddin, ia sangat serius dan perlu dihentikan bagi mengelakkan keadaan tidak harmoni di negara berbilang kaum seperti Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN