(PARLIMEN) RM835.4 juta bayaran FSA 2 KWSP

(PARLIMEN) RM835.4 juta bayaran FSA 2 KWSP lulus libat lebih 40,000 pemohon

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM835.4 juta diluluskan bagi bayaran Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melibatkan 40,196 permohonan setakat 26 Mei lalu.

Kementerian Kewangan berkata, sejumlah RM790.8 juta telah disalur melalui MBSB Bank Bhd. manakala RM44.6 juta menerusi Bank Simpanan Nasional, daripada jumlah keseluruhan dana yang diluluskan. 

“Kebanyakan permohonan yang tidak layak disebabkan pemohon tidak mencapai syarat seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki Akaun 2 tidak mencukupi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam. 

Kementerian Kewangan menjawab soalan Yusuf Abd. Wahab [GPS-Tanjong Manis] mengenai jumlah permohonan pencarum KWSP terbabit dan nilai yang diluluskan bagi inisiatif itu.

FSA2 bertujuan membantu ahli KWSP yang memerlukan bantuan kewangan mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Ia juga bertujuan mengimbangi kepentingan pendapatan persaraan pada masa hadapan dengan impak minimum ke atas simpanan persaraan ahli yang banyak terjejas susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

24 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat, seramai 150,154 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memohon Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA 2) bagi Fasa 1 yang dibuka sejak 7 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, hanya separuh yang layak melibatkan pemohon berumur 40 hingga 50 tahun daripada jumlah keseluruhan jumlah permohonan itu.

Sementara itu, menjawab persoalan Datuk Wan Saiful Wan Jan [PN-Tasek Gelugor] mengenai kelewatan meluluskan FSA2 KWSP, Kementerian Kewangan berkata, proses penilaian kredit oleh pihak bank bagi permohonan FSA2 yang diterima akan dilaksana dalam tempoh lima hari bekerja. 

“Terdapat juga permohonan mengambil masa lebih panjang untuk diproses bagi membolehkan bank membuat pengendalian tambahan yang memerlukan pihak bank membuat semakan dan penilaian lanjut ke atas kemampuan kredit pemohon,” katanya. 

Wan Saiful turut bertanya langkah diambil kerajaan untuk membantu pencarum yang mempunyai dana besar dalam Akaun 1 KWSP namun tidak dapat mengeluarkannya kerana tidak dibenarkan kerajaan. 

Kementerian Kewangan menegaskan pendirian tidak membenarkan sebarang pengeluaran baharu kerana simpanan ahli telah berada pada tahap kritikal dan boleh menjejaskan jaminan kewangan persaraan ahli ketika mencapai usia tua. 

“Tahap kecukupan simpanan ahli bagi menghadapi hari persaraan boleh dilihat dari segi pencapaian Simpanan Asas mengikut umur (RM240,000 pada 55 tahun). Setakat 31 Mac 2022, hanya 18 peratus atau 2.4 juta ahli KWSP yang telah mencapai tahap Simpanan Asas mengikut umur. 

“Ini menunjukkan bahawa 82 peratus ahli berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai cukup simpanan untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

“Bagi membolehkan ahli menjalani kehidupan persaraan bermaruah, ahli perlu mencapai had Simpanan Mencukupi iaitu simpanan sebanyak RM600,000 pada umur 55 tahun yang membolehkan ahli bersara dengan anggaran purata perbelanjaan RM2,500 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara.

“Buat masa ini, hanya 2.6 peratus atau 347 ribu ahli yang telah mencapai tahap Simpanan Mencukupi mengikut umur. Jika dilihat pencapaian bagi ahli aktif sektor formal pula, 4.3 peratus atau 328 ribu ahli telah mencapai tahap Simpanan Mencukupi mengikut umur,” katanya. 

Sebelum ini, KWSP dalam satu kenyataan berkata FSA 2 dilaksana dalam dua fasa, dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Fasa 1 bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun dengan permohonan melibatkan ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas. Bagi Fasa 2 pula, tarikh permohonan untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumum kelak.-utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN