PARLIMEN: Pembangkang yang guna agama kelirukan rakyat - PM

PARLIMEN: Pembangkang yang guna agama kelirukan rakyat – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ‘kekeliruan’ dibangkitkan pembangkang berhubung kes kalimah Allah yang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja serta keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini adalah dua perkara berbeza. 

Perdana Menteri berkata, titah Sultan Selangor bukan merujuk kepada tindakan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes yang difailkan oleh Jill Ireland terhadap Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini. 

Sebaliknya, beliau memberitahu titah baginda merujuk kepada usaha kerajaan untuk memperkemas peraturan semasa berhubung penggunaan kalimah Allah di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak mengikuti keputusan Majlis-Raja-Raja. 

Oleh itu, katanya, beliau tidak melihat sebab munasabah sehingga perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak Asasi dan Kebebasan kononnya mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

“Apa yang bertentangan? Mahu putar belit, mahu tipu rakyat ini sebab apa? Mahu dapat keuntungan politik? Jangan dengan menipu masyarakat dan kelirukan Dewan Rakyat. Kita (pembangkang) guna agama dan cuba kelirukan rakyat,” katanya sebelum menjawab sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini. 

Anwar menegaskan, keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam isu kalimah Allah di mahkamah sudah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi panggilan telefon dan disaksikan semua Jemaah Menteri, 7 Februari lalu.

“Ini yang kerajaan lakukan. Yang saya menghadap Sultan Selangor itu bukan keputusan lama (rujuk Majlis Raja-Raja). Tidak fahamkah? Itu Sultan kamu (wahai pembangkang). Baca, apa yang disebut Sultan Selangor. 

“Soal perakuan Kabinet (pindaan), tentang tidak membolehkan kalimah Allah diguna di Semenanjung diperkenan, kemudian kelonggaran untuk Sabah dan Sarawak, saya jelaskan oleh kerana ada pindaan, maka, Tuanku (Sultan Selangor) beri pandangan sebaiknya pindaan cadangan itu diperkemas peraturannya. 

“…sebaiknya dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Sultan Selangor akan persembah kepada Majlis Raja-Raja,” katanya. 

Pembangkang pagi tadi mencadang supaya Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Hak Asasi dan Kebebasan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung isu penarikan kes kalimah Allah yang ‘dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.’

Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi [PN-Tanjong Karang] berkata, merujuk peraturan 32(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Anwar didakwa telah melanggar peraturan itu kerana mengelirukan Dewan Rakyat. 

Pada 7 Jun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, isu sensitiviti agama terutama melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincang dengan MKI sebelum dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

Sehari selepas itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang media berkata, titah Sultan Selangor itu telah membuktikan kenyataan Anwar sebelum ini bercanggah. 

Sebelum ini, KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang boleh diguna dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah `Allah’, `Kaabah’, `Baitullah’ dan `solat’.

Jill Ireland adalah seorang wanita Melanau yang memfailkan semakan kehakiman pada 2008 untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Anwar sebelum ini mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembah cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN