PARLIMEN: Jemaah buat rayuan haji luar giliran layak dapat subsidi jika penuhi syarat  

PARLIMEN: Jemaah buat rayuan haji luar giliran layak dapat subsidi jika penuhi syarat  

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jemaah yang membuat rayuan haji di luar giliran layak mendapat subsidi atau bantuan kewangan haji jika memenuhi syarat pengecualian bayaran penuh sebanyak RM30,850 seperti ditetapkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dua syarat pengecualian bayaran penuh bagi mereka yang membuat rayuan iaitu mahram dan pengiring kepada jemaah haji yang mendapat giliran tahun ini.

Katanya, individu yang membuat rayuan haji di luar giliran tetap perlu membayar kos penuh kerana mereka dianggap mampu menunaikan haji jika tidak memenuhi syarat ditetapkan. 

“Pertama, jika suami mendapat giliran tetapi isteri tertinggal. Kalau dia buat rayuan dan suaminya dalam golongan B40, maka isteri itu akan mendapat kelayakan subsidi atau bantuan kewangan haji.

“Kedua, mereka yang buat rayuan itu menjadi pengiring. Contohnya jemaah yang mendapat giliran haji sudah tua dan uzur kesihatannya dan perlukan pengiring, maka pengiring itu akan mendapat bantuan kewangan haji,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] jika kerajaan memberi kelonggaran kepada golongan B40 yang membuat rayuan haji di luar giliran supaya tidak perlu membuat bayaran penuh berjumlah RM30,850.

Menjawab soalan asal Abdul Latiff mengenai kriteria diguna dalam penetapan jemaah haji B40, M40 dan T20, beliau berkata, Tabung Haji bekerjasama dengan kerajaan membuat semakan silang maklumat pendapatan bakal haji dengan pangkalan data sedia ada.

Katanya, Tabung Haji mengenal pasti jemaah kumpulan B40 dan M40 berdasarkan senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah daripada kerajaan.

“Jemaah kumpulan T20 dikenal pasti berdasarkan pendapatan individu bulanan melebihi RM15,000 dan bukan berasaskan pendapatan isi rumah.

“Bagi musim haji 1444H/2023M, sebanyak 45.7 peratus yang terpilih adalah jemaah haji kumpulan B40, 52.3 peratus jemaah haji M40 dan dua peratus kumpulan T20,” katanya. 

Sebelum ini, Tabung Haji memaklumkan, bayaran haji seorang jemaah muassasah bagi kumpulan B40 dan M40 meningkat antara RM1,000 dan RM3,000 pada tahun ini.

Ini menyaksikan kedua-dua kumpulan itu masing-masing perlu membayar sebanyak RM11,980 untuk kumpulan B40 dan RM15,980 bagi kumpulan M40, manakala kumpulan berpendapatan tinggi (T20) melebihi RM15,000 sebulan perlu menanggung kos haji sepenuhnya sebanyak RM30,850 seorang.

Bagaimanapun, kerajaan akan menanggung kenaikan kos haji sebanyak RM1,000 bagi kumpulan B40 yang mana jemaah hanya perlu membayar RM10,980 iaitu kadar sama kadar tahun lalu. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya