PARLIMEN: Adakah kerajaan sudah lantik Pesuruhjaya Suhakam baharu?

PARLIMEN: Adakah kerajaan sudah lantik Pesuruhjaya Suhakam baharu?

Teresa Kok
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berpandangan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ketika ini kelihatan ‘lebih diam’ berbanding Suhakam terdahulu, menyaksikan pesuruhjayanya sentiasa turun padang dan mengadakan pelbagai aktiviti.

Beliau berkata, pihaknya turut melihat Suhakam sebelum ini menjadi pemantau di dalam perhimpunan Bersih, malah mengadakan pendengaran terbuka terhadap mangsa yang mengadu tentang penyalahgunaan kuasa pegawai penguat kuasa.

“Tetapi pada hari ini, saya jarang membaca kenyataan dan aktiviti Suhakam dan kebanyakan kita tidak mengenali siapa pesuruhjaya Suhakam,” katanya semasa perbahasan Laporan Suhakam 2020 di Dewan Rakyat petang tadi.

Beliau turut mempersoal garis panduan pelantikan pesuruhjaya Suhakam dan siapa yang diberi kuasa melantik anggota badan berkenaan.

“Apakah kerajaan mengadakan libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuang hak asasi manusia di Malaysia untuk memastikan orang yang sesuai dilantik dalam Suhakam?

“Saya tidak pasti jika pihak kerajaan telah melantik pesuruhjaya yang baharu, saya ingin menyeru kerajaan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dari segi pelantikan ini kerana orang yang betul boleh menjadikannya lebih aktif,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru Suhakam diberi lebih peruntukan untuk menjalankan aktiviti hak asasi dan mengadakan libat urus dengan ahli Parlimen dan agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Suhakam melantik beberapa ahli baharu yang dipengerusikan oleh pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad bagi tempoh 2022 hingga 2025. Pelantikan itu berkuat kuasa 22 Jun tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu berkata, pelantikan tersebut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaras dengan Subseksyen 6(1) Akta 597, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Bagaimanapun, pelantikan itu dikatakan mengundang kritikan beberapa kumpulan hak asasi manusia kerana Rahmat dikatakan sebagai individu yang mengarang bersama kertas kerja yang meyakinkan Majlis Raja-Raja supaya menolak Statut Rom.

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Statut Rom yang telah diratifikasi oleh 123 negara adalah perjanjian untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memberi fokus terhadap penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Peranan ICC hanya menyiasat dan mendakwa jenayah sedemikian apabila terdapat negara yang tidak mampu atau mahu melakukannya.

Bagaimanapun, Rahmat seperti dilaporkan media memberitahu bahawa beliau tidak menentang Statut Rom, tetapi sebaliknya menulis kertas bantahan ratifikasi Malaysia pada 2019 itu disebabkan persiapan yang diperlukan masih belum selesai ketika itu.

Tujuh lagi anggota suruhanjaya itu adalah pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal (dilantik semula), bekas ketua Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr. Chew Chee Ming, bekas Peguam Negara Sabah, Datuk Mariati Robert, peguam Datuk Hasnal Rezua Habib Merican, peguam Nazira Abdul Rahim dan bekas presiden Majlis Peguam, K Ragunath. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya